Dari kiri, ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim. FOTO Ihsan Kerajaan Negeri Perlis

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang dihentikan keahlian oleh Pas memfailkan saman pemula terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.

ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim, Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) berkata, saman tersebut adalah bagi mencabar keputusan Ru’sele Eizan yang mengisytiharkan kekosongan luar jangka kerusi mereka.

Katanya, keputusan yang dibuat Ru’sele adalah di luar aturan, terbatal, tidak sah dan defektif kerana dibuat di luar bidang kuasa yang diperuntukkan kepadanya.

“Dalam hal ini, kami menghormati pandangan Speaker tetapi berpendapat keputusan mengisytiharkan kekosongan kerusi itu adalah ‘terkhilaf dan berada di luar aturan’.

“Susulan itu, kami mengambil tindakan memfailkan saman pemula terhadap Speaker sebagai defendan pertama dan DUN Perlis sebagai defendan kedua bagi menuntut mahkamah membatalkan pengisytiharan itu,” katanya dalam satu kenyataan media bersama, hari ini.

Selain itu, ketiga-tiga ADUN berkenaan turut memohon relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah

Saman difailkan melalui peguam, Mohd Jamil Yaacob daripada Tetuan Srihana Mohamad & Partners.

Menurut mereka, tindakan berkenaan diambil demi kebajikan rakyat kerana ketiadaan wakil rakyat selama hampir dua tahun sebelum pilihan raya negeri seterusnya dianggap menjejaskan kepentingan pengundi di kawasan terbabit. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast