Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

JOHOR BAHRU – Tiada masalah untuk membangunkan pusat data di Johor kerana setiap projek akan dinilai secara menyeluruh dan ketat sebelum sebarang kelulusan diberikan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, jaminan itu diberikan kerajaan negeri susulan ada pihak menyuarakan kebimbangan negeri ini bakal berdepan masalah air jika pusat data dibina dan beroperasi nanti.

Jelasnya, ia disebabkan pusat data menggunakan jumlah air yang banyak bagi menyejukkan perkakasan mereka dan ia boleh menjejaskan kapasiti air terawat sedia ada.

Mohamad Fazli berkata, satu jawatankuasa teknikal khas bagi permohonan pembangunan pusat data ditubuhkan bagi menilai kebolehlaksanaan setiap projek secara holistik khususnya melibatkan keperluan bekalan air dan elektrik, selain isu utiliti serta kesesuaian zon pembangunan.

“Jawatankuasa berkenaan dianggotai semua jabatan dan agensi teknikal berkaitan di peringkat kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Antara aspek utama yang diteliti ialah nilai Water Usage Efficiency (WUE) yang digunakan oleh pusat data, selain jumlah keseluruhan air yang diperlukan bagi keseluruhan pembangunan projek,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Johor sudah menetapkan prasyarat WUE yang dibenarkan adalah di bawah 1.8 iaitu selaras dengan standard yang diguna pakai di Singapura.

Walaupun sesebuah pusat data mencatatkan WUE di bawah 1.8, kelulusan tetap tertakluk kepada tahap kecukupan sumber air di kawasan terbabit.

“Pematuhan terhadap nilai WUE semata-mata tidak menjamin kelulusan sebaliknya ia turut bergantung kepada ketersediaan air di lokasi pembangunan,” katanya.

Mohamad Fazli berkata, terdapat pelbagai teknologi penyejukan moden yang mampu mencapai nilai WUE jauh lebih rendah daripada had ditetapkan, antaranya Immersion Cooling sama ada satu fasa atau dua fasa, serta Direct-to-Chip Liquid Cooling (DCD) yang mencatatkan WUE sekitar 0.05 hingga 0.2.

Selain itu, katanya, terdapat juga teknologi penyejukan yang tidak memerlukan penggunaan air secara langsung seperti sistem Chilled Water bersama CRAH (Dry Coolers), DX CRAC (penyejukan udara) serta sistem In-Row atau Close-Coupled Air, yang hanya menggunakan air minimum bagi keperluan domestik seperti tandas dan dapur.

Menurutnya, jika pusat data masih memerlukan air sebagai medium penyejukan pelayan, jawatankuasa teknikal akan mengarahkan perunding projek untuk mempertimbangkan sumber air alternatif, selain bergantung sepenuhnya kepada bekalan air terawat sedia ada.

“Dalam beberapa kes, pemaju pusat data turut diminta menggunakan air pulih guna yang dirawat daripada lori rawatan kumbahan ke loji rawatan air pulih guna.

“Antara pusat data yang mengguna pakai pendekatan ini ialah Bridge Data Centres (BDC) dan Computility Technology (Malaysia),” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga projek pusat data yang diarahkan bekerjasama dengan Johor Special Water (JSW) bagi membekalkan sumber air alternatif yang sesuai digunakan oleh sistem cooling tower, tanpa menjejaskan bekalan air terawat kepada pengguna awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast