KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mempersoal kewajaran keputusan kerajaan menyalurkan peruntukan tambahan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Ia kerana ketika ini masih terdapat banyak sekolah kebangsaan khususnya di kawasan pedalaman yang berada dalam keadaan daif dan memerlukan perhatian segera dari segi kos baik pulih dan infrastruktur.
Ketua Penerangannya, Azrol Mansor berkata, pihaknya merujuk kepada pengumuman terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penambahan dana kepada SJKC dan SJKT sambil menegaskan keutamaan kerajaan seharusnya diberikan kepada sekolah milik kerajaan yang masih ketinggalan dari segi kemudahan asas.
“Statistik jelas menunjukkan bilangan Sekolah Kebangsaan adalah jauh lebih tinggi berbanding SJKC dan SJKT. Justeru, perhatian serta peruntukan yang lebih besar sepatutnya disalurkan bagi menambah baik infrastruktur sekolah-sekolah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrol turut menggesa kerajaan menilai semula keseluruhan peruntukan pendidikan khususnya kepada SJKC dan SJKT dengan mengambil kira kewujudan Sekolah Kebangsaan Agama yang masih berada dalam keadaan daif dan memerlukan pembelaan sewajarnya.
Beliau turut membangkitkan isu sumbangan dana kepada SJKC yang didakwa pernah diterima daripada syarikat berkaitan industri minuman keras, sambil menegaskan perkara itu wajar diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan.
Dalam pada itu, Perkasa turut menantikan pengumuman jumlah peruntukan yang bakal disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan Agama bagi tahun 2026 sambil berharap kerajaan dapat bertindak lebih rasional dalam membuat keputusan pada masa hadapan.
“Janganlah jadi seperti peribahasa kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















