KUALA LUMPUR – Pemuda MCA Wilayah Persekutuan membuat laporan polis berhubung kematian pelajar berusia 14 tahun, Keziah Nisha selain mendesak dakwaan mendiang pernah menjadi mangsa buli di sekolah disiasat secara menyeluruh.
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong berkata, laporan itu dibuat susulan laporan media serta dakwaan keluarga mendiang Keziah pernah berdepan buli secara lisan termasuk penggunaan kata-kata berunsur perkauman.
“Ini merupakan dakwaan yang sangat serius. Namun selagi siasatan belum selesai, kami tidak mahu membuat sebarang kesimpulan atau menghukum mana-mana pihak.
“Sebab itulah kami memilih untuk membuat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan berdasarkan fakta dan bukti,” katanya dalam kenyataan hari ini selepas membuat laporan hari ini.
Turut sama hadir ialah Naib Ketua Pemuda MCA Negeri, Martin Wee Boon Peng; Ketua Pemuda MCA Wangsa Maju, Kevin Chong; dan AJK Pemuda MCA Negeri, Christopher Hew.
Menurut Mike, polis perlu meneliti sama ada mendiang benar-benar menjadi mangsa buli, termasuk dakwaan berkaitan kata-kata berunsur perkauman, serta menentukan sama ada wujud sebarang kesalahan di sisi undang-undang.
Siasatan juga perlu menumpukan kepada tindakan pihak sekolah sekiranya mereka telah mengetahui mengenai masalah buli berkenaan lebih awal.
“Sekiranya pihak sekolah telah mengetahui mengenai masalah buli tersebut lebih awal, apakah tindakan yang telah diambil? Adakah tindakan tersebut mencukupi dan dilakukan pada waktunya?” soal beliau. .
Dalam pada itu, pihaknya menegaskan, buli di sekolah tidak seharusnya dianggap sekadar masalah antara pelajar kerana setiap aduan yang dibuat boleh memberi kesan kepada keselamatan dan kesejahteraan mangsa.
“Sekiranya siasatan mendapati aduan mengenai kejadian buli sememangnya pernah berlaku sebelum ini, masyarakat berhak mengetahui siapa yang menerima aduan tersebut, bila aduan diterima dan apakah tindakan yang telah diambil.
“Adakah prosedur menangani kes buli dipatuhi? Adakah terdapat tindakan susulan bagi melindungi pelajar berkenaan?” soalnya lagi.
Mengenai dakwaan unsur perkauman, tambah Mike Chong, perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana sekolah sepatutnya menjadi tempat pelajar daripada semua kaum belajar untuk saling menghormati.
Katanya, laporan polis berkenaan bukan bertujuan menghukum mana-mana pihak atau memainkan sentimen perkauman, sebaliknya bagi memastikan siasatan dilakukan secara menyeluruh, telus dan berasaskan fakta.
“Jika berlaku buli, tindakan mesti diambil. Jika terdapat kelemahan dalam sistem, ia mesti diperbaiki dan jika ada pihak yang telah mengetahui masalah tersebut tetapi gagal mengambil tindakan sewajarnya, perkara itu juga perlu dijelaskan,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















