KUALA LUMPUR – Kesediaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh untuk berundur daripada perjuangannya termasuk Muafakat Nasional (MN) sebenarnya membuktikan realiti politik tidak bergerak sepantas idealisme.
Bekas Setiausaha Agung Siswa Barisan Nasional (BN), Syed Mohd Kazim Syed Nasir berkata, tidak semua perjuangan berakhir dengan kemenangan kerana sikap terlalu jujur dalam sistem yang bergerak dengan penuh berhati-hati.
“Ia bukan luahan putus asa, tetapi refleksi seorang pemimpin muda yang telah menyampaikan suara sehabis baik. Dalam politik, kejujuran sering menjadi ujian paling awal.
“Apabila seseorang memilih untuk memikul kelemahan pada diri sendiri, itu bukan tanda kalah, tetapi tanda tanggungjawab.
“Ini bukan kisah individu yang mengalah, sebaliknya kisah pertembungan antara idealisme dan politik sebenar antara suara mendesak makna dan struktur mengurus risiko,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UNNO akan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pendirian itu dibuat selepas Dr Akmal menerusi Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia Sabtu lalu mendesak agar kepimpinan tertinggi parti itu memutuskan hubungan dengan Kerajaan Perpaduan.
Konvensyen sayap itu juga mendesak supaya UMNO dan Pas menghidupkan semula kerjasama politik di bawah payung MN.
Menurut Syed, UMNO hari ini berada dalam fasa bertahan di mana kepimpinan pusat sebagai arkitek pertahanan memilih untuk memastikan parti Melayu itu tidak runtuh akibat keputusan tergesa-gesa.
“Bahasa trauma, bahasa berhati-hati dan bahasa penangguhan adalah refleksi pengalaman memimpin parti dalam zaman paling sukar. Ia bukan kelemahan kepimpinan, tetapi strategi kelangsungan.
Beliau berkata, suara Dr Akmal lahir kerana kegelisahan nyata di peringkat akar umbi dek kerana isu maruah, identiti dan hala tuju bukan retorik kosong, tetapi persoalan yang semakin mendesak.
“Apabila suara ini bertembung dengan struktur yang defensif, ketegangan tidak dapat dielakkan. Ketegangan ini bukan tanda perpecahan, tetapi petanda sebuah parti sedang mencari arah baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Syed berkata, perkara yang berbahaya bukan perbezaan pandangan, sebaliknya jika perbezaan ini disenyapkan tanpa kefahaman.
“Ini kerana parti yang hanya tahu bertahan tanpa ruang untuk mencabar dirinya sendiri akan menjadi stabil, tetapi kosong.
“Parti yang hanya tahu mencabar tanpa memahami risiko akan menjadi lantang, tetapi rapuh.
“Sejarah tidak akan menilai siapa yang paling cepat menang, tetapi siapa yang berani bercakap jujur ketika keadaan tidak memihak kepadanya,” katanya.
Katanya lagi, dalam perjuangan politik, ada yang ditakdirkan membina benteng dan ada yang ditakdirkan meniup kesedaran.
“Kedua-duanya lahir daripada niat yang sama mempertahankan perjuangan, walaupun melalui jalan yang berbeza,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















