KUALA LUMPUR – Pas belum memutuskan calon untuk jawatan Pengerusi Perikatan Nasional yang kini kosong berikutan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu akan dibincangkan di peringkat Pas Pusat dalam mesyuarat minggu depan.
Ditanya sama ada Pas akan mengemukakan satu atau dua nama, beliau berkata: “Saya serah kepada Pusat untuk memilih calon, ikutlah satu atau dua nama semuanya serah kepada Pusat.”
Abdul Hadi berkata demikian kepada wartawan di Marang hari ini.
Akhir bulan lalu, Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh melepaskan jawatan pengerusi PN di tengah-tengah kemelut politik yang melanda gabungan itu.
Ia berikutan tindakan lapan ADUN masing-masing tiga daripada Pas dan lima Bersatu menandatangani akuan bersumpah menarik balik sokongan terhadap bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Ekoran itu, Pas menamatkan serta-merta keahlian tiga ADUN parti itu namun tiada sebarang tindakan diambil oleh Bersatu terhadap lima ADUNnya.
Keadaan itu menyebabkan ada kalangan pemimpin Pas melihat Bersatu gagal mengawal ahli-ahlinya sekali gus menujukkan kelemahan parti pimpinan Muhyiddin dan mahu supaya Pas menerajui PN.
Keputusan Muhyiddin meletakkan jawatan bagaimanapun setakat ini tidak menjejaskan kerjasama parti-parti dalam gabungan itu walaupun terdapat ura-ura kemungkinan wujudnya usaha untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional.
















