KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad dijadual memberi keterangan di Mahkamah Tinggi pada perbicaraan kes Janawibawa melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli perniagaan itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen pada 20 Ogos tahun lalu daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkait projek Janawibawa.
Keputusan itu dibuat selepas Adam Radlan membayar kompaun RM4.1 juta mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Beliau yang tersenarai sebagai saksi pendakwaan, hadir pada sesi pengecaman sewaktu ahli perniagaan, Lian Tan Chuan memberi keterangan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin dalam perbicaraan kes Muhyiddin yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan suapan dan pengubahan wang haram.
Selepas prosiding terhadap saksi itu yang turut dikenali sebagai TC Lian selesai, mahkamah meminta kepastian siapa saksi berikutnya yang akan dipanggil oleh pihak pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan, Adam Radlan hadir di mahkamah, namun pendakwaan tidak berhasrat memanggilnya sebagai saksi buat masa ini kerana beliau akan melangsungkan perkahwinan Sabtu ini.
Terdahulu, TC Lian yang juga saksi pendakwaan ke-21 berkata, Adam Radlan merupakan rakan perniagaannya dan beliau diperkenalkan oleh Pengarah Urusan KCJ Engineering Sdn. Bhd., Datuk Azman Yusoff.
Ujar saksi, beliau dan Adlan Radlan yang juga rakan golf Muhyiddin, turut bekerjasama sejak 2021 antaranya melibatkan pembinaan projek sekolah di Jinjang.
Ketika menjawab soalan balas peguam Datuk Amer Hamzah Arshad, TC Lian berkata, Adam Radlan dan Azman pernah meminta sumbangan untuk Bersatu.
Peguam: Apa beza sumbangan yang Azman minta dan sumbangan (yang diminta) Adam Radlan?
Saksi: Adam Radlan minta sumbangan politik, ia secara ikhlas dan tidak terikat (no string attached) atau tanpa mengharapkan balasan.
Peguam: Azman pula, mengapa beliau minta sumbangan?
Saksi: Kami (syarikat Nepturis Sdn. Bhd.) dapat IPD Klang (projek pembinaan) dan Muhyiddin bantu, jadi kami bayar reward (balasan) RM1 juta.
Dalam keterangannya, TC Lian menafikan beliau menipu Kementerian Kewangan untuk mendapatkan projek di bawah Program Janawibawa.
Saksi menjelaskan, beliau tidak berhasrat menukar syarikatnya Metrasys Sdn. Bhd. kepada status bumiputera kerana mahukan syarikat itu dikongsi bersama isterinya sahaja.
Oleh yang demikian, beliau melantik dua pekerjanya, Aliza Abdul Malek dan Mohd. Rizman Akum Khan sebagai Pengarah Nepturis Sdn. Bhd.
Katanya, beliau memegang 30 peratus pegangan saham manakala kedua-duanya memegang 35 peratus saham setiap seorang.
Menurut TC Lian, berdasarkan syarat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), beliau tidak boleh mempunyai nama dalam dua syarikat.
“Nama saya ada dalam Metrasys, jadi saya tidak boleh ada nama dalam Nepturis. Jika didaftarkan juga, ia akan ditolak dan Nepturis tidak akan dapat lesen G7 dan taraf Bumiputera,” ujarnya.
Perbicaraan bersambung esok.
















