KUALA LUMPUR – Seorang doktor perubatan menegur tindakan seorang pengarah filem dan pelakon yang didakwanya kini menjual produk ubat kurus secara terbuka di media sosial.
Bagi Dr Aidil Azry Datuk Mokhtar, teguran terpaksa dibuat kerana produk yang dijual selebriti itu bukan produk suplemen namun ubat yang hanya boleh dibincang dan dikupas oleh doktor bertauliah daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
Tegas pengasas klinik estetik Idealyst itu, tindakan individu itu yang juga penerbit filem amat tidak beretika selain mencampuri industri orang lain di mana beliau tidak memiliki kepakaran dalam bidang perubatan.
“Saya hendak menyuarakan ketidakpuasan hati saya pada seseorang ni. Dia ini, lately rajin nak bercakap tentang industri orang lain. Bercakap tentang industri kesihatan perubatan dan estetik.
“Cerita dia, dia ini adalah seorang pelakon. Produser filem pun dia, director pun dia. Tapi lately ini rajin sangat kita tengok di sosial media dia bercerita tentang topik-topik yang melibatkan perubatan.
“Tapi yang paling penting sekali, dia bercerita pasal produk viral yang mana produk ini bukan produk suplemen, dia adalah ubat yang hanya boleh endorsed atau pun dikupas, dibincangkan dan prescribed oleh doktor registered KKM.
“Iaitu apa, produk untuk turun berat badan yang dinamakan monjaro. Dia siap promote, siap bercerita benda-benda teknikal, lepas tu siap apa lagi? Bagi harga buat package apa dan sebagainya.
“Bagi saya benda ini tak sepatutnya berlakulah. Saya tak nak sebut nama dia tapi rata-rata anda semua mungkin sudah dengar, sudah pernah kenal dia siapa,” katanya dalam satu rakaman media di media sosial miliknya di sini, hari ini.
Dr Aidil menambah, teguran yang dibuat itu bagi membolehkan semua pihaknya menghormati kepakaran dan bidang masing-masing.
Kata graduan perubatan di Kolej Universiti Dublin Ireland itu, beliau juga masih menghormati industri pihak lain dan adalah tidak beretika sekiranya mengulas secara terbuka tentang industri filem secara teknikal.
“Tak kisah anda siapa. Pastikan hormat industri orang lain. Macam mana saya hormat industri anda, contoh saya doktor medical, saya doktor aesthetic. Apa kata kalau saya komen benda-benda teknikal tentang industri perfilman.
“Pasti anda mungkin yang saya sebut ni mungkin tak puas hati. Eh, dia ini apa, doktor medical nak komen lebih-lebih teknikal pasal industri perfilman atau pasal drama, atau pasal directing, atau pasal production.
“Tentunya, saya tahu ini bukan bidang saya. Jadi, walaupun saya belajar contoh daripada YouTube ke, daripada apa ke, daripada pembacaan mana sekalipun, tapi kita kena hormatlah industri orang itu.
“Biar orang yang bertauliah sahaja yang bercakap. Peringatan pada industri-industri lain pun sama juga. Tolong ingat diri anda tu siapa, hendak cerita pasal benda-benda teknikal, ceritalah tentang yang apa, kebolehan yang ada pada diri anda mengikut pada kredibiliti yang anda ada,” katanya. – MalaysiaGazette
















