Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bersalaman bersama Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh selepas ucapan Perasmian Serentak Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak menilai Pemuda UMNO termasuk ketuanya, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sebagai biadab dalam menyatakan pendirian mereka.

Menurut beliau, apa yang dibangkitkan Pemuda UMNO termasuk dalam konvensyen khas yang berlangsung baru-baru ini merupakan `jeritan’ berkaitan isu-isu rakyat.

Jelasnya, ‘jeritan’ itu selari dengan tugas Pemuda UMNO yang sememangnya perlu menjadi pembingit atau rebellious dan menjadi sebagai `loceng kecemasan’.

Reaksi  Dr. Muhamad Akmal Saleh pada ucapan Perasmian Serentak Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2026.

“Dr. Akmal, Pemuda, teruskan keberanian kamu. Tapi, jadilah “Pembangkang Konstruktif” dari dalam kerajaan.

“Jika ada dasar kerajaan yang merugikan Melayu atau menekan rakyat, Pemudalah yang akan bangkit dan menyanggah terlebih dahulu.

“Rampas naratif “Hero Rakyat” daripada pembangkang. Buktikan Pemuda UMNO lah yang paling efektif menjaga Melayu, bukan mereka yang hanya pandai main sentimen,” katanya.

Beliau berucap pada majis perasmian serentak perhimpunan sayap Wanita; Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini malam ini.

Sementara itu, kepada sayap Wanita UMNO pula, Mohamad memberikan amanah supaya menjadi penyelesai kepada masalah ekonomi rakyat.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hadir pada Perasmian Serentak Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2026.

Ujarnya, Wanita UMNO perlu mengaudit dapur rakyat yang mana sekiranya bantuan kerajaan tercicir, maka sayap itulah yang akan segera membantu selain turut menjadi pendesak jika harga barang meningkat.

“Biar rakyat kata: “Parti lain sibuk berpolitik, tapi bila beras habis, Wanita UMNO yang sampai dulu,” katanya.

Kepada sayap Puteri UMNO pula, Mohamad menggesa ahli-ahlinya menjadi jentera perang parti di alam maya.

Jelas beliau, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah memberi pengajaran yang mana UMNO kalah di medan sosial atau lebih tepat di TikTok.

Tambahnya, ahli-ahli Puteri UMNO perlu mengubah persepsi anak muda dengan masuk ke kolej serta ruang digital dan menekankan isu seperti kesihatan mental serta gaji bermaruah.

“Puteri, medan perang kamu di skrin telefon. Saya mahu Puteri menjadi Unit Risikan Data.

“Pastikan Undi18 nampak UMNO sebagai kawan yang memahami,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast