KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kembali ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 pagi ini selepas dipecat UMNO pada Januari 2023.
Beliau mengiringi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh masuk ke dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini bagi menghadiri persidangan sayap parti itu.
Turut hadir, seorang lagi bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Semalam, Muhamad Akmal Saleh mengesahkan kehadiran bekas Menteri Kesihatan itu yang dijangka memberi suntikan semangat kepada perwakilan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menyifatkan Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ sebagai antara tokoh penting yang sentiasa dihormati oleh sayap parti berkenaan.
Sejak dipecat, Khairy menghabiskan masanya dan aktif dalam platform audio siar yang diasaskan beliau iaitu Keluar Sekejap yang kini meraih 421,000 pengikut di Youtube.
Sebelum ini, desas-desus kuat mengatakan bekas Ahli Parlimen Rembau yang kini bertugas sebagai penyampai radio di Hot FM akan kembali kepada UMNO sejak Oktober tahun lalu.
Pada Januari 2023, Khairy dipecat dari UMNO ekoran kelantangannya mengkritik kepimpinan tertinggi parti sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun sejak itu, beliau berulang kali menegaskan pendirian untuk tidak menyertai mana-mana parti oleh kerana kesetiaannya kepada UMNO.
Pada Pilihan 15, Khairy yang dipertaruhkan Barisan Nasional di kerusi kubu kuat Pakatan Harapan (PH) iaitu Parlimen Sungai Buloh dan biarpun tewas, beliau masih mampu meraih undi memberangsangkan, selain memecah dominasi undi besar diperoleh PH di sana.
Khairy mula menyertai Kabinet di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, menggalas portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan dengan rekod cemerlang mengendali Sukan SEA 2017 selain merintis Program Podium Majlis Sukan Negara dalam misi negara meraih emas di sukan Olimpik serta Program Pembangunan Bola Sepak Negara.
Beliau juga pernah ditugaskan menjaga portfolio sebagai Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, terbabit secara langsung dalam program pembangunan Aplikasi MySejahtera serta perolehan vaksin negara ketika pandemik Covid-19.
Di bawah kepimpinan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Khairy diamanahkan sebagai Menteri Kesihatan dan bertanggungjawab sepenuhnya dalam urusan pemberian vaksin Covid-19 kepada seluruh rakyat. – MalaysiaGazette
















