Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai sebarang halangan terhadap keputusan kerajaan negeri Selangor untuk memindahkan ladang ternakan babi dari Tanjung Sepat ke Bukit Tagar, sekiranya kawasan berkenaan didapati lebih sesuai dari segi persekitaran dan pengurusan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah tersebut boleh diterima selagi ia memenuhi keperluan alam sekitar serta dilaksanakan mengikut perancangan yang tersusun.

“Kalau didapati di (ladang penternakan babi) Bukit Tagar itu didapati lebih sesuai dengan persekitarannya, maka kita di peringkat Persekutuan tidak ada masalah apa yang nak dibuat oleh kerajaan negeri,” katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Amanat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Wisma Tani, di sini.

Menurut Mohamad, sebarang pemindahan ladang ternakan perlu mengambil kira faktor kelestarian alam sekitar bagi mengelakkan pencemaran yang boleh menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat.

“Sebarang pemindahan kita tahu pemindahan itu juga kena memenuhi kehendak alam sekitar dan didapati bahawa Bukit Tagar itu didapati lebih sesuai dengan persekitarannya,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan keputusan memindahkan ladang ternakan babi di Kuala Langat ke Bukit Tagar adalah bagi menamatkan amalan penternakan secara tradisional kepada kaedah moden.

Amirudin berkata, penggunaan sistem moden itu juga dijangka dapat menyelesaikan masalah pencemaran bau dan air yang sering dibangkitkan penduduk sekitar.

Dalam perkembangan berkaitan, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim dalam sidang media khas sebelum ini berkata, pemindahan ladang berkenaan akan disegerakan pada tahun ini berbanding perancangan asal yang dijadualkan pada 2030.

Izham turut memaklumkan bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak memperkenankan pembaharuan lesen sementara bagi ladang penternakan babi di daerah Kuala Langat.

Sultan Selangor dilaporkan murka terhadap perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini sebelum dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar pada 2030. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast