Azam mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara di Putrajaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak memerlukan kemasukan sisa plastik dan e-waste dalam jumlah berlebihan serta wajar mempertimbangkan moratorium sementara selama enam bulan bagi menilai kesan sebenar terhadap negara.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Srii Azam Baki berkata, tempoh enam bulan itu dicadangkan sebagai langkah percubaan untuk melihat implikasi sebenar terhadap ekonomi, alam sekitar serta sistem penguatkuasaan negara.

“Perkara ini, akan dibincangkan dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi meneliti punca kuasa yang berkaitan sebelum sebarang keputusan dasar jangka panjang dibuat,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara di Putrajaya hari ini.

Azam berkata, penubuhan Pasukan Petugas Khas itu mencerminkan pengiktirafan kerajaan bahawa isu pengimportan sisa plastik dan e-waste bukan lagi sekadar isu teknikal atau alam sekitar sebaliknya telah menjadi isu tadbir urus, integriti penguatkuasaan serta kepentingan nasional.

Menerusi surat Ketua Setiausaha Negara bertarikh 8 Disember 2025, SPRM dilantik sebagai pengerusi pasukan itu, menandakan peralihan kepada pendekatan pengurusan risiko nasional secara menyeluruh.

Isu berkenaan turut berkait rapat dengan obligasi antarabangsa Malaysia di bawah Konvensyen Basel yang mengawal pergerakan rentas sempadan sisa berbahaya.

Laporan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) 2025 menunjukkan Malaysia antara negara teratas mengimport sisa sejak 2023 manakala Mismanaged Waste Index (MWI) 2025 mengklasifikasikan Malaysia dalam kategori tinggi dengan kira-kira 26.4 peratus sisa plastik tidak diuruskan dengan baik.

Dalam mesyuarat itu, Azam menegaskan, keperluan kerjasama rapat antara 12 pasukan petugas khas yang dilantik, khususnya melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menurutnya, JKDM misalnya berperanan mengawal import dan eksport serta mencegah penyeludupan selaras dengan peruntukan Akta Kastam 1967 manakala JAS bertanggungjawab melaksana dan menguatkuasakan Konvensyen Basel termasuk kelulusan serta pemantauan import dan eksport sisa.

MITI pula berperanan menggubal dasar perdagangan dan industri serta mengawal kelulusan lesen berkaitan import dan eksport.

Sementara itu, Malaysia telah mula mengetatkan sekatan import sisa plastik berkuat kuasa 1 Julai 2025 dengan kebanyakan import dilarang kecuali yang dibenarkan melalui sistem permit SIRIM dan MITI.

Langkah itu bertujuan mengurangkan kemasukan plastik buangan asing serta memastikan hanya sisa sesuai untuk kitar semula dibenarkan masuk ke negara ini, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast