Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Mohamad Hasan pada sesi penggulungan ketika Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 Januari 2026.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang sebulat suara dipersetujui majoriti perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, manakala bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman pula dilantik sebagai pengerusi Musyawarah Nasional.

“Untuk mengetuai jawatankuasa ini kerana ia melibatkan perlembagaan dan peraturan parti, saya ingin persetujuan perwakilan untuk dilantik Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin sebagai pengerusinya.

“Atas persetujuan perwakilan juga, saya mohon persetujuan agar Tan Sri Abdul Ghani Othman dilantik untuk pengerusi Musyawarah Nasional,” katanya ketika ucapan penggulungan PAU 2025 di Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid semasa ucapan dasar Presiden UMNO mencadangkan untuk menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima penyertaan semula ahli-ahli parti dan yang belum menjadi ahli parti atau yang telah meninggalkan parti untuk diterima menjadi ahli-ahli UMNO.

Ahmad Zahid juga mencadangkan penubuhan Musyawarah Nasional bagi mengurus selia dan membincang agenda politik Melayu yang menyentuh soal kedudukan agama Islam, politik, ekonomi, pendidikan, perpaduan dan masa depan anak-anak bangsa.

Dalam pada itu, perwakilan PAU 2025 juga sebulat suara bersetuju untuk melantik Ahmad Zahid sendiri untuk mempengerusikan Majlis Perundingan Ummah susulan keputusan Kabinet yang meluluskan penubuhannya sebelum ini.

“Dulu sewaktu saya menjadi Timbalan Perdana Menteri, saya telah menubuhkan Majlis Perundingan Islam yang menyatukan pelbagai NGO, parti politik ke dalamnya untuk membincangkan tentang agenda-agenda Islam.

“Kabinet telah meluluskan Majlis Perundingan Ummah dan saya selaku pengerusinya untuk mewujudkan 11 kluster.

“Ia mengumpulkan para pemikir strategik, ulama, ahli akademik, pemimpin, NGO, tokoh korporat, wakil kerajaan serta tokoh-tokoh politik rentas kepartian bagi membincangkan isu-isu penting yang berkaitan dengan ummah Islam di Malaysia.

“Saya minta persetujuan perwakilan untuk saya jadi pengerusi kerana Kabinet telah meluluskannya tetapi bulan depan kita akan terus lancarkan Majlis Perundingan Ummah ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Jawatankuasa Rumah Bangsa, Ahmad Zahid berkata, ia diwujudkan bagi menerima penyertaan secara beramai-ramai mana-mana pertubuhan parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO) Melayu atau individu termasuk ahli profesional untuk menyertai UMNO.

“Ada parti yang kecil, yang mahu menyertai kita, saya telah bercakap dengan Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, beliau mahu menyerahkan partinya kepada kita untuk diserapkan.

“Begitu juga ada sebuah parti yang dulu bercium mulut dalam gabungan tapi ada pemimpin partinya yang telah taubat nasuha dan mahu menyertai UMNO semula, kita terima mereka,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid memberi jaminan, kerusi-kerusi yang dimiliki mana-mana parti kecil yang menyertai UMNO ditentukan beliau sendiri menerusi watikah pelantikan calon.

“Untuk memperhalusi kerana ada kekhuatiran, jika nak bertanding cawangan atau bahagian, ada yang khuatir, Tok Mad ada dialog semalam dalam PAU 2025 ini.

“Jangan khuatir, untuk mereka jadi calon, untuk pilihan raya akan datang, saya masih Pengerusi BN yang akan tandatangan watikah saya.

“Percayalah kepada saya, kalau kebetulan kerusi-kerusi itu dipunyai oleh mereka, tetapi kalau mereka menyertai kita, saya buat keputusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast