KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr. Mohd Mazri Yahya mendakwa UMNO paling awal berpatah balik dalam usaha penyatuan orang Melayu dan umat Islam sebelum ini.
Sama ada menerusi gerakan perpaduan di bawah jenama Muafakat Nasional (MN); kerajaan stabil atau perpaduan ummah, semuanya pernah dicuba sebelum ini.
Dakwanya, UMNO meninggalkan MN kerana tidak mahu bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dengan Perikatan Nasional (PN) turut ditendang.
Malah, dakwa beliau lagi, ketika perbincangan untuk pembentukan kerajaan atas nama perpaduan Islam, UMNO lebih rela bersama DAP sehinggalah lahirnya Kerajaan Perpaduan.
“Sekarang bila Zahid sebut “kolaborasi nasional”, orang tanya satu je: ini perpaduan betul… atau rebranding untuk selamatkan politik?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sabtu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menggulung ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 menyatakan hasrat untuk membentuk grand collaboration atau kolaborasi agung bagi menyatukan parti politik Melayu dan Islam di negara ini.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan perbezaan perpaduan Melayu dan Islam menerusi kolaborasi agung itu ketika UMNO dulu menolak perpaduan yang jelas bersama Islam.
“Sasarannya tetap UMNO, Bersatu, PAS, Amanah atau PKR. Yang jelasnya DAP tak termasuk dalamnya.
“Mampukah UMNO, Amanah atau PKR meninggalkan DAP untuk benar-benar bersatu atas nama Islam?
“Baru dengan berdehem sahaja dah kesal dan minta maaf, apatah lagi kalau diminta untuk meninggalkan DAP.
“Apapun, kita tunggu dan lihat,” katanya. – MalaysiaGazette















