Syahredzan Johan.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan (PH-Bangi) menegaskan, pendirian peribadinya untuk menolak sebarang jemputan acara anjuran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur sebagai tanda protes terhadap tindakan global yang diluluskan oleh Presiden AS, Donald Trump, khususnya berkaitan isu Palestin dan Gaza.

Beliau menyatakan demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini dengan merujuk beberapa tindakan berasingan Trump, termasuk penubuhan Lembaga Keamanan bagi Gaza yang dipromosikan sebagai “elemen utama” fasa kedua pelan menamatkan perang di wilayah Palestin itu.

Menurut Syahredzan, pada asalnya lembaga berkenaan dikatakan bertujuan membangunkan semula Gaza, namun kini dilihat mengambil bentuk seakan-akan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Apa yang paling pelik dan tidak dapat diterima ialah syarat untuk menjadi ahli tetap lembaga itu memerlukan bayaran sebanyak USD1 bilion,” katanya, sambil mengaitkan isu berkenaan dengan peringatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengenai peranan Malaysia di pentas global.

Pada 23 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Malaysia sukar untuk menyatakan sokongan awal terhadap cadangan penubuhan Lembaga Keamanan bagi Gaza tanpa jaminan yang jelas dan tegas mengenai nasib rakyat Palestin, khususnya di wilayah itu.

Katanya, Malaysia telah menyatakan pendiriannya dan terus memantau perkembangan berkaitan, memandangkan serangan kejam dan tidak berperikemanusiaan oleh rejim Israel masih berterusan, selain kegagalan pemulihan sepenuhnya bantuan kemanusiaan.

Mengulas lanjut Syahredzan berkata, Malaysia tidak seharusnya berasa kecewa sekiranya tidak dijemput menyertai lembaga berkenaan.

“Saya menyokong pendirian perdana menteri. Sebelum bercakap soal keamanan atau menubuhkan mana-mana lembaga, serangan ke atas Gaza mesti dihentikan terlebih dahulu,” katanya.

Tegas beliau, keamanan tidak boleh dibincangkan selagi Israel terus menyerang Gaza dan mengingkari gencatan senjata yang telah dipersetujui.

“Ini satu sandiwara. Masih ada dalam kalangan rakyat kita yang mengagumi AS dan memandang ke Barat, tetapi jelas bahawa Barat dan AS telah gagal,” katanya.

Sehubungan itu, Syahredzan berkata, beliau secara peribadi mengambil keputusan untuk menolak setiap jemputan daripada Kedutaan AS sebagai satu pendirian prinsip.

Walaupun mengakui terdapat menteri dan Ahli Parlimen lain yang perlu meneruskan hubungan diplomatik dengan AS, beliau menegaskan kebebasannya sebagai ahli parlimen belakang untuk berbuat demikian.

“Sekurang-kurangnya saya berpegang kepada prinsip bahawa selagi mereka berkelakuan seperti ini, saya tidak boleh berurusan atau bertemu dengan mereka,” katanya, sambil menegaskan Malaysia mesti terus memainkan peranan sebagai suara kebenaran di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast