KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan terdapat enam kawasan di negara ini yang tidak menerima hujan melebihi tujuh hari berturut-turut.
Katanya, Perlis mencatatkan hari tanpa hujan tertinggi sebanyak 30 hari diikuti Pulau Langkawi sebanyak 27 hari.
Manakala Melaka Tengah; Barat Daya, Pulau Pinang dan Kuala Langat, Selangor merekodkan jumlah hari tanpa hujan sebanyak 23 hari.
Kota Setar, Kedah pula mencatatkan jumlah tanpa hujan selama 20 hari.
“MetMalaysia akan sentiasa memantau dengan rapi perkembangan keadaan cuaca dari semasa ke semasa.
“Maklumat lanjut mengenai (FDRS) boleh di dapati https://myclimate.met.gov.my/fdrsWmsObsMsiaMetPortal, katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, perkembangan terkini jam 2.40 petang tadi, MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Sarawak melibatkan kawasan Bintulu (Tatau dan Sebauh) dan Limbang.
Amaran yang sama dikeluarkan bagi Sabah meliputi Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort dan Keningau) dan Pantai Barat (Papar) sehingga 5 petang, hari ini.
Katanya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. -MalaysiaGazette
















