KUALA LUMPUR -Malaysia Hindhudharma Maamandram, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Kuil-Kuil Hindu di Malaysia mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Khas Pendaftaran & Pemuliharaan Kuil Hindu di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri.
Presidennya, Rishikumar Vadivelu berkata, ini bagi memastikan proses penyelesaian isu kuil tidak berdaftar atau belum lengkap dari segi dokumentasi tanah, lesen operasi serta kepatuhan kepada Akta Pendaftaran Bangunan dan Tanah.
Jelas beliau, matlamat jawatankuasa khas tersebut adalah menyelesaikan pendaftaran sekurang‑kurangnya 80 peratus kuil yang belum berdaftar dalam tempoh 24 bulan dari tarikh penubuhan.
Ia juga bagi mewujudkan pangkalan data digital bersepadu yang boleh diakses oleh semua pihak berkepentingan serta menyediakan skema pembiayaan (geran pinjaman mikro, atau sumbangan tanggung jawab korporat) untuk menampung kos pendaftaran dan pemuliharaan.
Jawatankuasa itu juga katanya, akan menganjurkan bengkel dan sesi kaunseling untuk pemilik kuil supaya dapat memahami prosedur yang diperlukan selain menerbitkan laporan kemajuan suku tahunan kepada Perdana Menteri serta Parlimen bagi menilai keberkesanan tindakan.
“Sehubungan dengan itu, kami dengan penuh hormat memohon kepada YAB Perdana Menteri untuk menyetujui cadangan penubuhan Jawatankuasa Khas sebagaimana yang diuraikan di atas dan mengeluarkan arahan kepada jabatan dan Kementerian berkenaan agar memberi sokongan logistik, kewangan, serta sumber manusia yang diperlukan,” katanya dalam sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri, hari ini.
Tambah Rishikumar, Maamandram bersama Malaysia Hindu Sangam serta Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta Kuil‑Kuil Hindu bersedia untuk menyumbang kepakaran dalam proses perundingan dengan Jabatan Tanah & Galian, Jabatan Pendaftaran Tanah, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, serta unit‑unit teknikal lain.
Katanya, mereka juga bersedia untuk menyelenggarakan bengkel latihan untuk pihak pengurusan kuil mengenai prosedur pendaftaran, dokumentasi hak milik, dan pematuhan undang‑undang.
Menurut beliau, jawatankuasa khasberkenaan akan berfungsi dengan pelantikan pemimpin jawatankuasa iaitu wakil JPM bagi memastikan garis panduan strategik, mengagihkan sumber dan memantau kemajuan.
Jawatankuasa itu juga perlu dianggotai wakil NGO dan persatuan kuil termasuk termasuk Maamandram untuk menyumbang data, menyediakan sokongan lapangan, serta mengkoordinasi dengan kuil‑kuil tempatan.
Selain itu ia perlu dianggotai Pegawai Tanah dan Galian untuk menangani perkara teknikal pendaftaran, penyelesaian pertikaian tanah dan pengesahan hak milik
Rishikumar turut mencadangkan pegawai kewangan jawatankuasa tersebut dilantik daripada Kementerian Kewangan atau Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menilai keperluan bajet, menguruskan dana bantuan serta memastikan peruntukan yang mencukupi.
Tambahnya jawatankuasa itu juga perlu dianggotai pakar warisan dan kebudayaan daripada Jabatan Warisan Kebangsaan serta penasihat undang-undang daripada Jabatan Kehakiman atau Badan Perundangan.
“Besar harapan kami agar melalui kerjasama bersepadu ini, semua kuil Hindu di Malaysia dapat memperoleh status pendaftaran yang sah, sekaligus meneguhkan lagi perpaduan dan keharmonian antara pelbagai agama di tanah air,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















