Orang Kelainan Upaya (OKU), Muhammad Bukhari Zakaria, 66 dan isterinya Siti Aidah Mustapha, 54 menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk pulang ke kampung halaman di Kempas, Johor Bharu bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kuala Lumpur Sentral. Foto MOHD ADZLAN, 29 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Semua tiket perkhidmatan tren elektrik tambahan (ETS) bagi tempoh perjalanan 13 Februari sehingga 22 Februari 2026 sempena Tahun Baharu Cina telah terjual.

Jumlah itu bersamaan 131,879 tempat duduk yang ditawarkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) .

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, KTMB juga telah mengoptimumkan aset kereta api yang membolehkan penambahan 26,460 tiket yang semuanya juga telah habis dijual.

“Sukacita saya umumkan di sini juga sebanyak 12,600 tiket tambahan lagi bagi sektor KL Sentral – JB Sentral – KL Sentral bagi tempoh 13 hingga 22 Februari akan mula dijual esok (11 Februari 2026) pada 12.15 tengah malam menggunakan set ETS3 ketujuh yang baru sahaja diluluskan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya,  KTMB buat pertama kalinya akan memperkenalkan perkhidmatan EMU Plus sempena Tahun Baharu Cina dengan menyediakan sebanyak 7,344 tempat duduk lagi.

Secara keseluruhan KTMB telah menyediakan 46,404 tiket tambahan sempena perayaan berkenaan, peningkatan 426 peratus berbanding tahun lepas (8,820 tiket).

Tambahan jumlah tiket tahun ini disebabkan penambahan tujuh set ETS3 dan pengoperasian ETS yang menghampiri 24 jam sepanjang tempoh perayaan ini.

“Setakat 10 Februari 2026, sebanyak 43 peratus atau 3,157 jualan tiket telah direkodkan,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KTMB telah merekodkan sebanyak 118,823 tiket ETS, bersamaan 53 peratus daripada 224,196 tempat duduk yang ditawarkan bagi perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Jumlah tiket itu bagi semua sektor untuk tempoh 13 Mac 2026 sehingga 29 Mac 2026.

“Penjualan tiket tambahan Hari Raya Aidilfitri akan diumumkan setelah tiket sedia ada yang ditawarkan habis terjual,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast