KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 premis yang dipercayai menjual rokok elektronik diserbu Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op E-CIG Mega yang dilaksanakan di sekitar Chow Kit di sini hari ini.
Komander Briged Tengah, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, operasi berkenaan dijalankan bagi membanteras aktiviti penjualan peranti dan produk rokok elektronik tanpa kebenaran.
“Pemeriksaan mendapati kesemua premis terbabit melakukan pelbagai kesalahan sama ada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun Kementerian Kesihatan (KKM).
“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen dan permit, tidak membayar cukai selain menjual produk tidak berdaftar,” katanya pada sidang media selepas serbuan Op E-CIG Mega yang dijalankan di sini hari ini.
Menurut Hakemal, tiada angka rasmi rampasan atau nilai keseluruhan barangan dapat diumumkan buat masa ini kerana pemeriksaan terperinci masih dijalankan.
Jelas beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan operasi serupa akan diteruskan di lokasi lain dalam usaha berterusan membanteras penjualan e-rokok tanpa kebenaran.
Maklumat lengkap termasuk hasil pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan dijangka diumumkan secara rasmi dalam satu sidang media yang akan diadakan pada tarikh yang akan dimaklumkan. – MalaysiaGazette
















