KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti diberi cuti pentadbiran sehinga siasatan terhadapnya selesai dilaksanakan oleh jawatan kuasa khas.
Langkah ini adalah pengurusan konflik asas untuk melindungi saksi, bukti, moral pegawai dan proses integriti, kata Pengerusi Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP), Dr. Pamela Yong.
Menurutnya, ia merupakan antara langkah minimum yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan dengan segera dalam berdepan dengan isu ini.
Yong berkata, INSAP amat prihatin terhadap krisis kredibiliti yang semakin mendalam melibatkan SPRM apatah lagi
laporan-laporan terkini menimbulkan persoalan serius mengenai pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM serta kewujudan “mafia korporat”.
“Tidak kira apa kesimpulan undang-undang pada akhirnya, kerosakan segera adalah bersifat institusi kerana apabila ketidakberpihakan SPRM dipersoalkan, setiap siasatan berisiko dilihat melalui lensa penguatkuasaan terpilih,” tegasnya dalam kenyataannya.
Tambahnya, INSAP mengambil maklum keputusan kerajaan untuk menubuhkan jawatan kuasa khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara bagi meneliti dakwaan-dakwaan ini.
Ujar beliau, langkah ini perlu, tetapi ia hanya akan memulihkan kepercayaan sekiranya prosesnya terbukti bebas, telus dan diikuti dengan tindakan pembetulan yang tegas.
Selain usul menggantung sementara kedudukan Azam, INSAP juga mahu jawatan kuasa khas itu menerbitkan terma rujukan yang jelas, termasuk skop semakan terhadap pengisytiharan aset, pematuhan dengan peraturan pelaburan perkhidmatan awam dan dakwaan institusi mengenai pengaruh tidak wajar dan penyalahgunaan kuasa penguatkuasaan.
Jawatan kuasa itu juga harus menetapkan jadual masa laporan yang jelas dan berikrar untuk menerbitkan dapatan sepenuhnya.
“Memandangkan kepentingan awam yang tinggi, laporan tersebut juga harus dibentangkan di Parlimen, dengan tindakan susulan kerajaan dinyatakan dengan jelas,” ujarnya.
INSAP juga berpandangan pendedah maklumat dan saksi mesti dilindungi melalui jaminan anti-tindakan balas yang jelas serta saluran pelaporan yang kredibel, termasuk bagi pegawai SPRM yang mungkin mempunyai maklumat berkaitan.
Katanya, kontroversi ini tidak berlaku dalam ruang vakum kerana kebimbangan serupa mengenai kredibiliti kepimpinan SPRM pernah timbul sebelum ini dan tidak diselesaikan dengan cara yang memulihkan keyakinan awam secara kukuh.
Apatah lagi, di bawah pentadbiran semasa, tempoh perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM telah dilanjutkan berulang kali, dengan tempoh kini dijadualkan berakhir pada Mei.
Oleh itu, Yong berkata, Malaysia tidak mampu untuk menghadapi lagi kesimpulan di sebalik pintu tertutup atau lanjutan yang hanya menambah persepsi.
Katanya, Kerajaan Madani mengambil alih kuasa dengan mandat reformasi, dengan komitmen berulang untuk memperkukuh kebebasan institusi, mengakhiri akauntabiliti terpilih dan mengurangkan dominasi eksekutif terhadap pelantikan penguatkuasaan utama.
Lantaran itu, saat ini adalah ujian masa nyata, sama ada komitmen tersebut telah ditinggalkan atau masih boleh dihormati melalui keputusan konkrit. – MalaysiaGazette
















