KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus terus berfungsi sebagai sebuah institusi bebas dan profesional dalam memerangi rasuah tanpa tekanan politik atau persepsi yang dibentuk melalui polemik media.
Pemangku Timbalan Presiden Persatuan Bekas Pegawai SPRM (PBPSPRM), Ishak Abu Bakar berkata, meskipun kritikan adalah sebahagian daripada amalan demokrasi, namun ia seharusnya berlandaskan fakta dan menghormati proses undang-undang.
Menurutnya, integriti pegawai-pegawai SPRM yang bertugas perlu dipertahankan daripada sebarang bentuk tohmahan tidak berasas.
“Kita memerlukan institusi yang kuat dan berdiri atas asas keadilan, bukan persepsi semata-mata.
“Ketika negara memerlukan komitmen berterusan dalam membanteras rasuah seperti yang dianjurkan Malaysia Madani, tumpuan seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh sistem dan bukan melemahkan institusi melalui serangan ‘liar’ yang tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas desakan beberapa pihak supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki meletakkan jawatan susulan polemik pemilikan saham yang dikaitkan dengan beliau.
Tambah Ishak, sebagai bekas pegawai yang pernah berkhidmat dalam SPRM, pihaknya memahami secara mendalam tatacara dalaman, mekanisme semak dan imbang, serta proses siasatan yang dilaksanakan dalam setiap kes.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, sebarang serangan ‘liar’ terhadap mana-mana pegawai dan institusi SPRM, termasuk kepada Azam tertakluk kepada proses penelitian dan siasatan yang sewajarnya oleh pihak berautoriti.
Ujarnya, dalam kes melibatkan Azam, pihaknya melihat isu yang sedang dibincangkan lebih tertumpu kepada dimensi konflik persepsi.
“Tidak dinafikan persepsi penting tetapi ia tidak boleh menggantikan bukti untuk menjatuhkan hukuman terhadap individu dan institusi,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam telah mengetuai pelbagai siasatan berprofil tinggi tanpa mengira kedudukan atau pengaruh individu yang terlibat.
“Institusi antirasuah adalah tulang belakang keyakinan pelabur, kestabilan ekonomi dan kepercayaan rakyat di mana kita perlu berhati-hati agar perbahasan awam tidak melemahkan institusi ini secara tidak sengaja,” katanya.
Artikel berkaitan:
- Azam Baki tidak boleh dihukum berdasarkan sentimen dan dorongan politik
- Suhakam gesa tubuh RCI siasat Azam Baki
- Mana Kita Nak Letak Muka, Rakyat Rasa Kena ‘Scam’ Dengan Ahli Politik, Isu Azam Baki Bukan Personal
Sehubungan itu, beliau menyeru agar masyarakat tidak terperangkap dengan naratif politik yang cuba dibawa oleh pihak tertentu dalam polemik melibatkan SPRM dan Azam.
Sebaliknya, ujar beliau, semua pihak harus menilai polemik itu secara rasional dan memberi kepercayaan kepada proses undang-undang yang sedang berlangsung. – MalaysiaGazette
















