Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pemilikan saham membabitkan Tan Sri Azam Baki.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus berkata, ini kerana jawatankuasa penyiasatan khas tidak mempunyai kuasa statutori jelas dan mencukupi untuk menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

“Penubuhan sebuah pasukan petugas itu tidak mempunyai kuasa. RCI mempunyai kuasa untuk memanggil saksi, memeriksa mereka di bawah angkat sumpah serta memaksa pengeluaran dokumen.

“Kuasa-kuasa ini amat penting bagi memastikan pemeriksaan yang menyeluruh, bebas dan telus terhadap semua dakwaan berkaitan. Skop siasatan juga perlu bersifat menyeluruh,” katanya menerusi satu kenyataan lewat malam semalam.

Sebelum ini, Bloomberg dalam laporannya mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Bagaimanapun, Azam pada sidang media baru-baru ini menegaskan, pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Hishamudin berkata, siasatan tidak seharusnya terhad kepada isu tertentu sahaja, sebaliknya perlu merangkumi semua dakwaan serius diketahui umum termasuk dakwaan berkaitan pemilikan saham serta laporan dakwaan pakatan sulit.

“Pendekatan yang tidak menyeluruh atau bersifat selektif berisiko mewujudkan persepsi berat sebelah dan menjejaskan kredibiliti proses tersebut.

Menurut Hishamudin, kebebasan institusi juga merupakan elemen sama penting dan mana-mana badan penyiasatan perlu mengelakkan sebarang konflik kepentingan sama ada secara nyata mahupun dari segi persepsi.

“Keyakinan orang ramai bukan sahaja bergantung kepada keadilan proses tersebut, tetapi juga kepada penampilan bahawa proses itu dilaksanakan secara adil,” katanya.

Katanya lagi, badan penyiasatan yang dicadangkan tidak seharusnya diketuai oleh Peguam Negara kerana fungsi penyiasatan dan pendakwaan perlu dipisahkan daripada pengaruh tidak wajar berdasarkan prinsip asas keadilan.

“Sebaliknya, ia wajar dipimpin oleh seorang mantan Ketua Hakim Negara yang bebas dan dihormati seperti Yang Amat Berbahagia Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang sering diiktiraf atas integriti kehakimannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast