Nuridah Salleh

KUALA LUMPUR – Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menegaskan kes menghina Islam dengan memuat naik gambar memijak al-Quran tidak seharusnya berakhir dengan siasatan semata-mata.

Sebaliknya, Ketua DMPM, Nuridah Salleh berkata, ia mesti disusuli dengan pendakwaan di bawah peruntukan undang-undang yang menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani perbuatan yang mencetuskan kebencian terhadap Islam.

Menurut beliau, permohonan maaf daripada suspek tidak memadai terutama apabila perbuatan itu dilakukan di saat umat Islam sedang beribadah di bulan Ramadan.

“DMPM turut menekankan bahawa punca kebencian individu tersebut terhadap Islam perlu dikaji dan ditangani dengan sewajarnya.

“DMPM khuatir beliau mungkin telah terdedah kepada doktrin atau informasi yang salah mengenai Islam sehingga menimbulkan kebencian keterlaluan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, polis mengesahkan menahan seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) untuk siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial.

Ia susulan penularan gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut UMPSA di media sosial.

Sementara itu, Nuridah berkata, Malaysia adalah negara yang dihuni majoriti Muslim dengan penuh semangat toleransi, justeru sikap Islamophobia tidak boleh diterima.

“DMPM akan terus memantau perkembangan kes ini dan berharap kerajaan dapat mengambil tindakan yang memberi pengajaran kepada semua agar perkara yang sama tidak berulang,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast