KUALA LUMPUR — Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran yang didakwa melanggar undang-undang antarabangsa dan mengancam keamanan global.
Beliau menegaskan tindakan agresif tersebut bukan sahaja membahayakan kestabilan Asia Barat, malah berisiko mencetuskan perang berskala besar dengan implikasi serius di peringkat global.
“Tindakan ini saya anggap sebagai perbuatan berbahaya yang menjejaskan sebarang usaha diplomatik pada masa hadapan di Asia Barat. Penglibatan tentera Amerika Syarikat dalam serangan tersebut meningkatkan lagi risiko tercetusnya perang yang lebih meluas,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Awal hari ini, sekutu Muhyiddin, Pas mengutuk keras AS dan Israel susulan pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang didakwa terkorban dalam satu serangan ke atas negara itu.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata tindakan tersebut sebagai kezaliman yang jelas melanggar norma keadilan sejagat serta mengancam keselamatan, kestabilan dan kedaulatan Iran.
Dalam kenyataan sama, Muhyiddin menekankan bahawa penggunaan kekerasan sebagai penyelesaian konflik adalah salah dan tidak boleh diterima.
Beliau menyeru semua pihak menghentikan tindakan provokatif yang boleh menjerumuskan dunia ke dalam konflik lebih besar.
“Saya menyeru supaya semua pertempuran dihentikan serta-merta. Amerika Syarikat dan Iran mesti memilih untuk meneruskan jalan diplomasi dan dialog,” tegas beliau.
Beliau turut melahirkan kebimbangan serius terhadap keselamatan rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan menekankan bahawa perlindungan serta kebajikan mereka adalah keutamaan mutlak kerajaan.
“Saya amat bimbang terhadap keselamatan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas. Melindungi warganegara kita serta memastikan keselamatan dan kebajikan mereka akan menjadi keutamaan tertinggi,” tambahnya.
Muhyiddin menyeru kerajaan Malaysia bersama rakan serantau dan antarabangsa supaya segera mencari mekanisme berkesan untuk meredakan ketegangan, menghalang eskalasi konflik, serta melindungi orang awam.
“Kerajaan Malaysia, bersama rakan-rakan serantau dan antarabangsa, mesti terus berusaha mencari kaedah berkesan untuk meredakan ketegangan, menggalakkan keamanan dan melindungi orang awam yang terperangkap dalam konflik ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















