SHAH ALAM – Polis akan memanggil individu dikenali sebagai Arun Dorasamy susulan laporan yang dibuat terhadapnya berkaitan isu kuil di Rawang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, sehingga kini, polis menerima lapan laporan daripada pelbagai individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap Arun.
“Laporan itu berkenaan rasa tidak puas hati berkaitan kenyataan yang dibuat oleh individu itu (Arun).
“Kita sedang menjalankan siasatan dan kes dirujuk sebagai ROR (refer other report), iaitu merujuk kepada kes awal melibatkan isu kuil terbabit… Setakat ini belum panggil tapi kita akan usahakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam, di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai perobohan binaan haram di atas tanah milik penuh Yayasan Kubra itu, Shazeli mengesahkan pihaknya menerima satu laporan yang dibuat pihak pengurusan kuil tersebut.
Sehingga 25 Februari lalu, polis menerima lapan laporan terhadap Arun yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan berhubung isu kuil di Rawang.
Peguam Yayasan Kubra, Muhammad Hariz Md Yusoff dilaporkan berkata, tindakan itu diambil susulan dakwaan bahawa kenyataan individu berkenaan berunsur perkauman dan agama sehingga mencetuskan kegusaran awam. – MalaysiaGazette
















