RIYADH – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Riyadh memberi amaran mengenai ancaman serangan yang hampir berlaku di bandar Dhahran, timur Arab Saudi, yang menempatkan sebahagian besar kemudahan tenaga negara itu di sepanjang pesisir Teluk.
“Terdapat ancaman serangan peluru berpandu dan UAV yang hampir berlaku di Dhahran. Jangan datang ke Konsulat AS,” menurut kenyataan kedutaan itu menerusi akaun rasmi X.
Amaran tersebut dikeluarkan hanya beberapa jam selepas misi AS di Riyadh diserang dua dron yang mencetuskan kebakaran kecil di kawasan kedutaan, ketika Iran meneruskan serangan balas di seluruh rantau Teluk.
Pada Isnin, loji penapisan minyak Ras Tanura yang besar di pesisir Teluk Arab Saudi mengalami penutupan sebahagian selepas diserang dron.
Kompleks yang dikendalikan oleh syarikat minyak milik kerajaan Arab Saudi, Aramco, itu menempatkan salah satu kilang penapisan terbesar di seluruh Timur Tengah dan merupakan tonggak utama sektor tenaga negara berkenaan.
Arab Saudi ialah pengeksport minyak terbesar dunia, dengan kebanyakan medan minyak serta infrastruktur petroleum terletak di pantai timurnya, merentasi Teluk dari Iran. – Agensi
















