JOHOR BAHRU – Tiada rundingan politik sedang atau akan diadakan dengan Parti Amanah Negara (Amanah) Johor dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain berkata, pihaknya akan mengambil semula semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa yang sebelum ini dipinjamkan kepada MUDA.
Ketua Amanah Kawasan Kluang itu berkata, Amanah Johor menuntut semula kerusi itu susulan tindakan MUDA yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kerusi DUN Puteri Wangsa sebelum ini dipinjamkan kepada MUDA atas semangat kerjasama dan kesepakatan gabungan, namun tindakan MUDA yang menarik sokongan jelas bertentangan dengan semangat kestabilan politik negara.
“Kami ingin mengesahkan bahawa tiada sebarang rundingan politik sedang atau akan diadakan bersama-sama parti MUDA seperti mana yang pernah berlaku sebelum PRN Johor lalu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Amanah Johor akan membangkitkan perkara tersebut dalam perbincangan bersama-sama Pakatan Harapan (PH) nanti bagi mengambil semula kerusi DUN Puteri Wangsa.
Jelasnya, keputusan itu adalah tanda protes dan pendirian tegas Amanah terhadap tindakan MUDA sebelum ini yang menarik sokongan terhadap kerajaan.
Katanya, Amanah Johor berpandangan bahawa sebarang kerjasama politik harus berteraskan kesetiaan kepada mandat rakyat serta komitmen terhadap kestabilan kerajaan.
Tegas beliau, tindakan menarik sokongan secara unilateral adalah tidak bertanggungjawab dan memberi kesan kepada keyakinan rakyat.
“Kerusi DUN Puteri Wangsa pada asalnya diperuntukkan atas dasar kepercayaan dan strategi bersama-sama untuk memperkukuh blok reformasi.
“Namun, perkembangan politik semasa menuntut penilaian semula demi memastikan konsistensi dan kejelasan pendirian gabungan,” ujarnya.
Tambahnya, Amanah Johor kekal komited bersama-sama PH dalam memperkukuh kerajaan Perpaduan serta memastikan setiap kerusi yang ditandingi mencerminkan kestabilan, kesepaduan dan prinsip perjuangan yang jelas kepada rakyat Johor.
Pada PRN Johor bagi DUN Puteri Wangsa, MUDA menerusi Pemangku Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz menang dengan majoriti 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru.
Amira Aisya yang ketika itu merupakan Setiausaha parti itu, menewaskan Ng Yew Aik daripada Barisan Nasional (BN), Dr Khairil Anwar Razali (Parti Pejuang Tanah Air), Loh Kah Yong (Perikatan Nasional), Steven Choong Shiau Yoon (Parti Bangsa Malaysia) dan Adzrin Adam (Bebas).
MUDA ketika itu menang kerusi tersebut atas sokongan PH meskipun tidak menyertai gabungan politik berkenaan ketika itu namun bersetuju mengadakan pakatan pilihan raya (electoral pact) menghadapi PRN Johor.
MUDA kemudian menyertai kerajaan Perpaduan sebelum mengumumkan keluar daripada kerajaan pimpinan PH pada 2023 sebagai tanda protes terhadap tindakan melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuahnya.- MalaysiaGazette
















