KUALA LUMPUR – Polis akan menyiasat insiden dirakam dalam video tular yang memaparkan kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh berhenti di salah sebuah restoran mamak sebelum dihampiri pekerja restoran terbabit untuk diserahkan bungkusan plastik berwarna putih kepada pemandu MPV SL198.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya mengesan rakaman video tular berdurasi 12 saat itu di media sosial kira-kira 7.50 malam semalam.
“Pihak IPD Sungai Buloh mengesahkan bahawa kejadian yang berlaku melibatkan MPV IPD Sungai Buloh.
“Perkara ini akan disiasat dan tindakan tegas akan diambil pada mana-mana anggota dan pegawai yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Tambah Mohd Hafiz, pihak IPD Sungai Buloh juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota dan pegawai yang membuat salah laku yang boleh menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau andaian tidak berasas yang boleh mencemarkan imej PDRM. -MalaysiaGazette
















