Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diselar sebagai `bodoh sombong’ selepas tidak memberi maklum balas terhadap jemputan menghadiri musyawarah bagi membincangkan isu Islam, Melayu dan bumiputera anjuran UMNO kelmarin.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, meskipun disifatkan berada di ambang kehancuran, Bersatu masih mendabik dada kononnya hanya parti itu yang selayaknya membela bangsa melayu.

Sedangkan, ujar beliau, penyatuan Melayu, Islam dan bumiputera tidak seharusnya dilihat dalam konteks kuasa politik walaupun hakikatnya itu merupakan wadah yang terbaik.

“Namun kena ada sedikit “kelonggaran” pendekatan melalui dialog sihat, ataupun persetujuan secara konsensus atas sesuatu krisis dan isu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Terdahulu, pemimpin-pemimpin lapan politik Melayu kelmarin mencipta sejarah apabila buat pertama kali menyertai Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di sini.

Mesyuarat yang dipengerusikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki itu turut melibatkan Pas; Parti Keadilan Rakyat (PKR); Parti Amanah Negara (Amanah); Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS); Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa); Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Bagaimanapun menurut Asyraf Wajdi, pemimpin Bersatu tidak menghadiri musyawarah itu meskipun surat jemputan turut dihantar.

Bahkan, katanya, usaha sekretariat menghubungi wakil Bersatu juga gagal selepas tiada sebarang jawapan diberikan.

Sementara itu, Shaiful Hazizy menggesa supaya musyawarah itu diteruskan tanpa mempedulikan pendirian oleh pemimpin Bersatu.

Tegas beliau, penyatuan Melayu bukan hak sesuatu kumpulan atau parti politik, sebaliknya merupakan hak semua pihak atas nama kesepakatan dan jiwa besar.

“Hakikatnya parti Bersatu adalah parti perpecahan sehingga dalam pada masa yang sama juga melahirkan Pejuang. Berpecah dan terus berpecah.

“Teruskan bermusyawarah, insya-Allah akan ada titik temu untuk kita bertaut!” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast