Suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut.

BUKIT MERTAJAM – Seorang pekerja kilang direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bagi membantu siasatan kes khianat harta benda dan ugutan terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 20 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Muhammad Shahrul Aiman Kamalrulzaman bermula hari ini sehingga Rabu depan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 427 akta sama.

Terdahulu, suspek tiba di mahkamah dengan diiringi anggota polis kira-kira jam 9.45 pagi dengan memakai pakaian lokap polis berwarna oren.

Difahamkan, suspek merupakan pemilik motosikal yang tular dalam satu rakaman video menunjukkan kejadian serangan terhadap Zamri kira-kira jam 3 petang di tepi jalan di Taman Aston Acacia di sini, semalam.

Susulan itu, suspek ditahan semalam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

MalaysiaGazette difahamkan, pihak polis sedang mengesan saki baki suspek yang terlibat dalam serangan tersebut bagi membantu siasatan.

Semalam, Zamri yang lantang memperjuangkan isu pencerobohan tanah mendakwa diserang sekumpulan individu.

Menerusi hantaran di Facebook, Zamri mendakwa kumpulan itu melakukan serangan secara hendap, namun dia sempat bersembunyi dan menyelamatkan diri.

“Mereka bawa kayu, batu dan buat percubaan untuk pukul. Alhamdulillah mereka baling batu pecah cermin kereta.

“Pondan…berani hanya bila hendap beramai. Sebab itulah saya kata mereka ini tak layak diberi muka. Mereka dah mula mencabar kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast