KUALA LUMPUR – Pas mendesak Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan satu siasatan bebas dan telus bagi menyiasat secara menyeluruh kejadian seorang doktor pelatih yang ditemukan maut di asrama Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Jumaat lalu.
Lajnah Kesihatan Pas Pusat, Dr. Mohd Mazri Yahya berkata, ia termasuk berhubung faktor persekitaran kerja, beban tugas dan sistem sokongan kepada doktor pelatih.
Menurutnya, siasatan itu perlu dipastikan tidak terhad kepada aspek perundangan semata-mata, tetapi turut menilai faktor sistemik yang mungkin menyumbang kepada tekanan mental dalam kalangan pegawai perubatan.
Selain itu, tambahnya, siasatan tersebut perlu melibatkan pihak berkecuali termasuk wakil badan profesional perubatan, pakar kesihatan mental dan organisasi berkaitan dalam proses siasatan berkenaan.
Dalam masa sama, ujarnya, siasatan itu perlu mengemukakan laporan serta cadangan penambahbaikan bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan mental dan persekitaran kerja yang lebih sihat untuk semua petugas kesihatan.
“Kita tidak mahu tragedi seperti ini berulang. Sistem kesihatan negara perlu memastikan bahawa para doktor muda yang berkhidmat untuk rakyat tidak terpaksa berhadapan dengan tekanan yang melampau tanpa sokongan yang mencukupi,” katanya.
Jumaat lalu, seorang doktor pelatih berusia 29 tahun ditemukan maut di bilik air bangunan asrama HSIP, Kuala Krai, Kelantan.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, punca kematian adalah disebabkan oleh tekanan pada leher dan kes disiasat sebagai laporan mati mengejut.
Sementara itu, Dr Mohd Mazri berkata, pihaknya memandang serius laporan yang tular berkaitan tekanan kerja dan keadaan persekitaran latihan pegawai perubatan di hospital kerajaan.
Tambahnya, isu kesejahteraan mental dalam kalangan doktor pelatih bukan perkara baharu dan telah lama menjadi kebimbangan dalam sistem kesihatan negara. – MalaysiaGazette















