Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

PETALING JAYA – Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan tidak akan kembali menyertai UMNO, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depan politiknya bersama bekas parti lamanya itu.

Mukhriz yang juga bekas Naib Presiden UMNO menyifatkan persoalan mengenai kepulangannya ke pangkuan parti itu sebagai sesuatu yang mengejutkan, namun beliau dengan tegas menyatakan pendiriannya.

“Terkejut saya soalan itu. Tidak ada kemungkinan untuk saya kembali ke UMNO.

Absolutely not (sama sekali tidak),” katanya selepas pelancaran kempen ‘Tangkap Azam Baki’ bersama-sama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Pejuang hari ini.

Beliau berkata akan terus kekal bersama Pejuang kerana menyifatkan UMNO kini sudah jauh terpesong daripada landasan dan matlamat asal penubuhannya.

“UMNO yang ada pada hari ini bukan lagi parti yang dikenali dahulu, malah ‘roh’ perjuangan asal UMNO kini sebenarnya berada dalam Pejuang.

“Ramai di antara kami dalam Pejuang asalnya daripada UMNO, kemudian ke Bersatu, dan kini dalam Pejuang.

“Kami sudah ‘ditapis’ dua kali, yang ada dalam Pejuang hari ini adalah golongan hardcore perjuangan,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai usaha penyatuan politik Melayu, bekas Menteri Besar Kedah itu menyatakan Pejuang sentiasa menyokong hasrat tersebut, namun ia tidak boleh dilakukan secara semberono.

“Integriti adalah syarat mutlak yang tidak boleh dikompromi dalam membawa agenda perpaduan kaum Melayu di negara ini.

“Kita menyokong sepenuhnya hasrat untuk menyatukan politik Melayu.

“Cumanya, pada pandangan Pejuang, ada satu syarat iaitu mestilah ada integriti.

“Jadi, kita bermasalah sedikit kalau nak suruh bersatu dengan golongan kleptokrat,” ujarnya.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuka pintu kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali menyertai parti itu.

Langkah itu dibuat bersempena bulan Ramadan sebagai usaha memperkukuh kembali perpaduan dalam kalangan ahli parti.

Menurut beliau, UMNO juga mengalu-alukan mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan parti itu untuk menyertai parti berkenaan.

Ahmad Zahid turut berharap usaha berkenaan dapat menjadi titik penyatuan bagi memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast