KUALA LUMPUR — Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) memberi peringatan tegas bahawa sebarang perbezaan dan ketidakpuasan hati tidak boleh diterjemah melalui keganasan.
Katanya, tindakan melampau seperti membakar kereta pempengaruh media sosial, S Chandrasegaran atau Cikgu Chandra semalam, adalah satu bentuk keganasan yang tidak boleh dinormalisasikan kerana ia bercanggah dengan amalan masyarakat majmuk yang menjunjung tinggi nilai harmoni dan keamanan.
“Sebarang perbezaan pandangan, ketidakpuasan hati atau perselisihan tidak wajar diselesaikan melalui tindakan melampau, apatah lagi melalui keganasan yang boleh mengancam keselamatan individu serta ketenteraman awam.
“Pendekatan perbincangan yang rasional serta saling menghormati merupakan asas penting dalam membina masyarakat yang harmoni dan bertamadun,” kata HIKAM dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, tiga kenderaan milik Cikgu Chandra dilaporkan dibakar dalam kejadian awal pagi di Taman Kinrara, Puchong, Selangor.
Perkara itu didedahkan oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamad Suffi Kamari serta penceramah Firdaus Wong menerusi media sosial masing-masing.
Menurut HIKAM, insiden tersebut bukan sahaja merugikan mangsa, malah mencetuskan kebimbangan awam kerana melibatkan unsur keganasan yang berpotensi menggugat ketenteraman masyarakat jika tidak ditangani dengan tegas.
Dalam masa sama, HIKAM mengingatkan umat Islam khususnya agar sentiasa bertindak dalam kerangka undang-undang serta menjunjung tinggi nilai keadilan dan keamanan, tanpa dipengaruhi emosi atau sentimen melampau.
“Islam mengajar pendekatan wasatiyyah (kesederhanaan dan keseimbangan) dalam beragama, yang menolak sikap melampau serta menggalakkan penyelesaian yang bijaksana dan berhemah, khususnya dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia,” jelasnya.
HIKAM turut menasihatkan masyarakat supaya menjaga adab dan akhlak ketika menyuarakan pandangan, termasuk di media sosial, serta mengelakkan kenyataan berunsur penghinaan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.
Pada masa sama, pertubuhan itu menegaskan komitmen berterusan untuk mengangkat agenda perpaduan nasional sebagai teras perjuangan, demi memastikan Malaysia kekal sebagai negara yang berasaskan keadilan, kasih sayang dan kemampuan hidup bersama dalam kepelbagaian. — MalaysiaGazette
















