Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyifatkan inisiatif Rumah Bangsa sebagai cubaan UMNO untuk kembali menjadi `abang besar’ disifatkan memperlihatkan kegusaran politik Menteri Besar Kedah berkenaan.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, ia juga menggambarkan kecenderungan Muhammad Sanusi melihat setiap usaha penyatuan melalui lensa persaingan politik semata-mata.

Sedangkan, hakikatnya, tambah beliau, Rumah Bangsa adalah satu gagasan untuk membuka ruang dialog, kerjasama dan penyertaan lebih luas dalam kalangan masyarakat Melayu dan bumiputera demi memperkukuh kestabilan politik serta masa depan negara.

Jelasnya, dalam suasana politik hari ini yang semakin berpecah dan dipenuhi retorik konflik, usaha membina jambatan antara kelompok masyarakat sepatutnya disambut dengan kematangan politik, bukannya ditanggapi sebagai ancaman.

“UMNO tidak pernah mendakwa dirinya sebagai “abang besar” kepada mana-mana pihak.

“Sejarah panjang parti ini membuktikan bahawa kekuatan UMNO terbina daripada sokongan rakyat dan keupayaannya menyatukan pelbagai kelompok masyarakat dalam kerangka kestabilan negara,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi dilaporlan berkata, cadangan penubuhan sekretariat Rumah Bangsa oleh UMNO dilihat sebagai usaha parti itu untuk kembali mengukuhkan kedudukan dalam politik Melayu.

Menurut beliau, setakat ini, perkara itu belum dibincangkan di peringkat Pas, walaupun sudah menjadi perbualan dalam kalangan pemimpin politik.

Sementara itu, Shaiful Hazizy menambah, ketika tuduhan terhadap UMNO tersebut terus diulang, rakyat Kedah sendiri sedang berhadapan dengan pelbagai isu sebenar yang menuntut perhatian dan penyelesaian yang jauh lebih serius daripada sekadar polemik politik.

“Jika ada pihak yang benar-benar ikhlas mahu memperkukuh kedudukan orang Melayu dan kestabilan negara, pintu rumah ini sentiasa terbuka.

“Namun, jika setiap usaha penyatuan terus dilihat sebagai ancaman politik, maka persoalannya bukan lagi pada gagasan tersebut, tetapi pada kegusaran pihak yang bimbang kehilangan naratif politik yang selama ini mereka bangunkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast