KUALA LUMPUR — Daripada dianggap aset strategik Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Rafizi Ramli kini didakwa bertukar menjadi liabiliti besar bukan sahaja kepada gabungan itu malah kepada landskap politik negara secara keseluruhan.
Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), Prof. Dr. Tajuddin Rasdi secara terbuka menyifatkan bekas Menteri Ekonomi itu sebagai figura yang sukar bekerjasama dalam era politik campuran yang menuntut kompromi dan kebijaksanaan membina konsensus.
“Kalau tidak boleh bekerjasama dengan sesiapa, bagaimana mahu membentuk kerajaan campuran? Politik hari ini bukan lagi soal dominasi tunggal tetapi kebolehan berunding dan membina jambatan,” katanya.
Menurut Tajuddin, pendekatan Rafizi yang gemar mengkritik tanpa menawarkan jalan penyelesaian pragmatik hanya memburukkan keadaan.
Malah beliau mendakwa Rafizi lebih lantang menyerang parti sendiri berbanding mengkritik pembangkang yang membawa isu sensitif.
Beliau turut mendakwa Rafizi tidak mendapat sokongan kukuh daripada parti-parti komponen kerajaan termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), MNO, Parti Amanah Negara (Amanah) serta sebahagian besar DAP.
“Tiada siapa mahu berkawan dengan individu yang tanpa segan silu mengkritik parti sendiri dan presiden sendiri termasuk dalam demonstrasi,” tegasnya.
Tajuddin sebelum itu menyifatkan kritikan Rafizi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kenyataan “paling tidak beradab”.
Beliau mengakui tersinggung dengan dakwaan Rafizi yang menuduh Anwar obses terhadap kuasa sedangkan Perdana Menteri itu melalui perjalanan politik penuh liku termasuk pemenjaraan dan tekanan sepanjang kerjaya politiknya.
Dalam masa sama, Tajuddin mempersoalkan dakwaan Rafizi mengenai isu pengundian dalam PKR yang menurutnya tidak pernah dibuktikan atau dibawa kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Mengulas tindakan Rafizi meletak jawatan Menteri, beliau membandingkannya dengan Menteri Sarawak dari GPS, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang tetap meneruskan tugas walaupun tewas dalam pertandingan parti.
“Rafizi merajuk dan menggunakan alasan kekalahan sebagai kononnya usaha jahat. Sepatutnya beliau bangkit, susun semula sokongan dan bertanding jawatan presiden secara terhormat.
“Tetapi beliau sendiri menyatakan tidak mahu lagi menjadi pemimpin PKR dan mahu bertanding solo sebagai calon Bebas pada PRU-16,” katanya.
Lebih tajam, Tajuddin meramalkan langkah itu bakal memakan diri malah tanpa sokongan undi Melayu yang kukuh dan dengan undi bukan Melayu yang berisiko berpecah, peluang untuk menang amat tipis.
Beliau memberi contoh calon bebas popular seperti Siti Kasim hanya memperoleh sekitar 600 undi dan hilang deposit pada PRU-15.
“Kalau benar Rafizi mampu menang 30 kerusi Parlimen sekali pun, dengan siapa beliau mahu bekerjasama? Parti besar seperti UMNO, Bersatu dan Pas tetap pemain utama. Jika undi bukan Melayu berpecah, yang untung adalah PN dan BN.
“Jangan sampai kerana kebencian peribadi terhadap Anwar, akhirnya PKR tumbang dan pihak lawan kembali berkuasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















