JOHOR BAHRU – “Saya sudah hafal surah al-Fatihah sedikit-sedikit sebelum memeluk agama Islam lagi. Ini berlaku semasa perhimpunan di sekolah yang membacakan surah al-Fatihah pada setiap pagi,” cerita Chilsa Paul, 28, mualaf berketurunan Iban sebelum memeluk Islam.
Menurutnya, bermula dengan pendedahan itu dia mula tertarik dengan Islam, malah mahu mengetahui agama itu dengan lebih mendalam.
“Semasa di sekolah saya banyak bergaul dengan pelajar-pelajar Islam. Saya juga berminat untuk berpuasa walaupun belum memeluk Islam. Setahun sebelum masuk Islam saya sudah belajar berpuasa dan bersahur,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Iftar Perdana Amal Hidayah Centre Johor di Trove Hotel di sini, malam semalam.
Turut hadir Ketua Jawatankuasa Penasihat Hidayah Centre Foundation, Dr Zulkifli Khair.
Bercerita lanjut, Chilsa berkata, dia mendapat hidayah dan secara rasmi mengucapkan dua kalimah syahadah pada 2021 selepas yakin dengan pilihan akidahnya.
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia tidak menoleh ke belakang lagi selepas itu walaupun pada peringkat awal menerima tentangan ibu dan ayah yang beragama Kristian.
“Ayah saya orang Iban dan ibu pula berketurunan Indonesia, mereka masih menetap di Sri Aman, Sarawak dan mempunyai pegangan agama Kristian yang kuat serta pada mulanya menentang.
“Ibu saya ada pendedahan sedikit tentang Islam manakala ayah saya sedikit menentang, tetapi sekarang penerimaan mereka sudah baik,” katanya yang kini menetap di Bukit Mewah di sini.
Sementara itu, Zulkifli berkata, majlis itu menghimpunkan seramai 186 tetamu terdiri daripada rakan strategik, para penyumbang, sukarelawan, komuniti mualaf serta tetamu jemputan.
Beliau berkata, Chilsa merupakan antara panel bersama-sama Ts Dr Jaysuman Pusppanathan dan Nur Salina Pei Abdullah menerusi satu sesi dalam majlis tersebut.
“Sesi ini membuka ruang kepada ahli panel untuk menceritakan pengalaman peribadi dan berkongsi inspirasi dalam meniti perjalanan mereka sebagai Muslim.
“Penglibatan mualaf dalam pengisian program ini merupakan antara usaha Hidayah Centre Foundation Johor untuk menyediakan platform kepada mereka dalam mengasah bakat, membina keyakinan diri serta mengetengahkan potensi agar lebih aktif dan berperanan dalam masyarakat,” katanya.- MalaysiaGazette
















