Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan (kanan) bersama Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain (dua kanan) bergambar semasa Pengumuman Agihan Keuntungan selepas zakat sebanyak 3.50 peratus Tabung Haji bagi tahun 2025 di Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 MAC 2026

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025, melibatkan keseluruhan agihan berjumlah RM3.22 bilion yang akan dimanfaatkan lebih 9.7 pendeposit di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dr Zulkifli Hasan yang mengumumkan perkara itu berkata, agihan tersebut menunjukkan peningkatan berbanding kadar 3.25 peratus yang direkodkan pada 2024.

Ini sekali gus mencerminkan prestasi kewangan lebih kukuh serta pengurusan kewangan yang berdisiplin oleh TH.

Menurut beliau, TH mencatatkan TH turut mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan tertinggi iaitu RM4.64 bilion pada 2025 yang merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh lapan tahun.

“Prestasi ini disokong oleh tadbir urus yang diperkukuh, pengurusan kos yang berdisiplin serta strategi pelaburan yang mantap dan berdaya tahan,” katanya pada sidang media Pengumuman Agihan Keuntungan Tabung Haji 2025, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, TH telah melunaskan zakat berjumlah RM95.3 juta bagi pihak para pendeposit kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) untuk diagihkan kepada golongan asnaf.

Menerusi Program Zakat Wakalah TH itu katanya, lebih 726,000 asnaf menerima bantuan sepanjang tahun 2025.

Agihan keuntungan itu kata beliau, diisytiharkan selaras dengan Akta Tabung Haji 1995 selepas penyata kewangan TH bagi tahun 2025 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan TH dalam mengurus dana umat Islam secara berhemat dan berintegriti.

“Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang telah dikreditkan ke akaun masing-masing bermula pukul 10 pagi, 19 Mac 2026 (hari ini) melalui platform THiJARI di kaunter Tabung Haji serta rakan strategik perbankan termasuk Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast