KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mencabar Bendahari Perikatan Nasional (PN) baharu, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendedahkan jumlah sebenar serta senarai penyumbang `derma ahli’ yang diterima gabungan parti politik itu.
Menurutnya, audit terbuka itu bagi membuktikan PN benar-benar hanya bergantung kepada `derma ahli’ sebagai dana atau sumber dalam menggerakkan kerja-kerja parti.
Tegasnya, `derma ahli’ tidak boleh dijadikan `tembok’ atau menghalalkan proses pendanaan politik yang tidak telus.
Ujar beliau, hakikatnya, pada zaman politik moden yang menelan belanja berjuta-juta ringgit, dakwaan kononnya PN cukup dengan derma akar umbi bukan sahaja kedengaran naif, malah mengundang persoalan besar berkenaan apa yang cuba disembunyikan.
“Umum mengetahui PRU yang lalu wajah kempen PAS sangat berubah, nampak benar mewah dan terserlah kelainannya, “bilboard” mega, ribuan konvoi motosikal melibatkan anak muda menggunakan pakaian seragam, itu nak kita percaya kempen guna derma ahli?
“Yang betulnya PAS terima dana luar, buktinya? Tanya Dr Marzuki dan Tun Faisal drpd Bersatu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Muhammad Sanusi yang mana dana PN terutama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) akan terus disumbangkan oleh ahli parti gabungan itu sebagai mengikut jejak Pas selama ini.
Menurut Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah, konsep itu juga menjadi sumber kekuatan Pas sebelum ini sehingga memenangi banyak kerusi dalam pilihan raya termasuk di negeri-negeri.
Sementara itu, Shaiful Hazizy berkata, mengangkat model lama berkenaan `derma ahli’ tanpa menjawab realiti kos kempen hari ini hanyalah retorik untuk menyedapkan telinga penyokong.
Hakikatnya, ujar beliau, tanpa ketelusan penuh, konsep `derma ahli’ itu mudah menjadi topeng kepada sumber kewangan yang tidak didedahkan.
“Namun itulah momokan berterusan parti PAS setiap masa bagi mengekal imej mereka kononnya inilah “parti perjuangan”, hakikatnya banyak sumber luar yg tidak didedah dan nyatakan secara telus,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan Muhammad Sanusi yang mana rakyat bukan lagi mudah percaya dengan slogan.
Ujar beliau, sekiranya PN mahu mengikut jejak parti Pas yang kononnya hidup dengan derma, perkara itu perlu dibuktikan dengan laporan kewangan yang telus, bukan sekadar cerita politik yang diulang-ulang setiap kali musim pilihan raya.
“Pesanan saya pada Bendahari PN yang baru sekurang-kurangnya UMNO berani nak umum sumber dana politik dengan keazaman utk membentangkan akta pembiayaan dan pendanaan politik di Parlimen, banyak pihak yang menentang, tak tahu sebab apa.
“Pesanan saya yang terakhir kepada Bendahari PN yang baru, jangan kerap sangat berlakon acah suci dan jangan berselindung dengan naratif “derma rakyat” ataupun gerak kerja “tin milo” bagi menutup sumber-sumber tertentu,” katanya. – MalaysiaGazette
















