Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menasihatkan rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Seri Paduka Baginda menekankan kepentingan menjaga kesihatan dengan mengurangkan aktiviti luar yang terdedah kepada cuaca panas serta memastikan pengambilan air yang mencukupi.

Sultan Ibrahim bertitah. Kementerian Pendidikan juga perlu mengambil perhatian serius perkara ini bagi memastikan kesihatan murid serta pelajar tidak terjejas berikutan fenomena cuaca panas dijangka berlarutan sehingga awal atau pertengahan Jun depan.

Baginda bertitah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut berperanan penting dengan meningkatkan tahap kesiapsiagaan berikutan cuaca panas semasa yang berpotensi mencetuskan peningkatan kes kebakaran.

“Pada masa sama, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan sebarang pembakaran terbuka kerana keadaan panas dan berangin boleh mempercepatkan merebaknya api.

“Warga emas serta kanak-kanak yang mengidap penyakit kronik juga dinasihatkan supaya tidak terdedah dengan cuaca panas bagi mengelakkan sebarang komplikasi,” titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan dan penyelamat termasuk JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta petugas kesihatan yang sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh cuaca panas ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast