Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Majikan sektor swasta digesa melaksanakan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) termasuk bekerja dari rumah (BDR) sebagai langkah strategik menghadapi krisis tenaga dunia dan ketidaktentuan ekonomi global, selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan menegaskan, pelaksanaan AKF atau Flexible Work Arrangements (FWA) mampu membantu organisasi menyesuaikan operasi dengan lebih cekap tanpa menjejaskan produktiviti, selain memberi manfaat kepada majikan dan pekerja dari segi pengoptimuman sumber serta keseimbangan kerja dan kehidupan.

Katanya, dalam konteks peningkatan kos tenaga susulan konflik di Asia Barat serta kebergantungan kepada pergerakan harian pekerja, pendekatan kerja fleksibel dilihat relevan termasuk melalui kaedah bekerja dari rumah, waktu kerja anjal, penggiliran kerja dan model hibrid mengikut keperluan operasi organisasi.

“Pelaksanaan AKF selaras dengan pindaan Akta Kerja 1955 [Akta 265] yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 menerusi Seksyen 60P dan 60Q, yang membolehkan pekerja memohon pengaturan kerja fleksibel daripada majikan.

“Di bawah peruntukan tersebut, pekerja boleh membuat permohonan fleksibiliti dari segi waktu, hari atau tempat bekerja termasuk bekerja dari rumah.

“Bagaimanapun, majikan yang melaksanakan AKF tidak dibenarkan mengurangkan faedah pekerja seperti bayaran kerja lebih masa, cuti tahunan, cuti sakit serta bayaran hari rehat dan cuti umum,” demikian menurut kenyataan tersebut, hari ini.

Tambahnya, bagi menyokong pelaksanaan itu, KESUMA melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menyediakan khidmat nasihat, latihan serta perkongsian amalan terbaik kepada majikan.

Malah, JTKSM turut menerbitkan Garis Panduan Pelaksanaan AKF 2024 yang merangkumi pelbagai aspek termasuk takrifan, bentuk, kaedah pelaksanaan, tanggungjawab majikan dan pekerja, serta tatacara permohonan dan kelulusan.

Majikan juga boleh mendapatkan maklumat lanjut atau menyertai inisiatif berkaitan AKF melalui TalentCorp menerusi e-mel [email protected] atau laman web www.flexworklife.my.

Sehubungan itu, KESUMA menyeru majikan supaya mengambil langkah proaktif dengan menilai kesesuaian pelaksanaan AKF, melaksanakannya secara berperingkat serta memanfaatkan sokongan yang disediakan oleh agensi berkaitan.

KESUMA menegaskan, komitmennya untuk memastikan kesejahteraan pekerja dan kelangsungan perniagaan terus seiring dalam mendepani cabaran global semasa. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast