Woon Wai King

JOHOR BAHRU – Video dikeluarkan Ketua Wirawati Parti Warisan Perak, Hooi Mi Suet memaparkan ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan isu bekalan dan harga minyak yang tular dianggap mengelirukan rakyat.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Woon Wai King berkata, video-video yang dipaparkan itu sudah disunting, bersifat separuh masak dan tidak memaparkan keseluruhan konteks sebenar kandungan ucapan Perdana Menteri.

“Kandungan video tersebut jelas bersifat tidak bertanggungjawab dan cenderung mencetuskan panik dalam kalangan rakyat. Dalam keadaan semasa yang mencabar, penyebaran maklumat sebegini tanpa konteks penuh hanya akan menimbulkan kebimbangan yang tidak perlu dan sangat mengelirukan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, lebih membimbangkan, video tersebut secara selektif meninggalkan bahagian penting daripada kenyataan Anwar yang sebenarnya menegaskan kerajaan sedang giat mencari langkah alternatif bagi menangani situasi mencabar ketika ini.

Apa yang lebih mengecewakan, katanya, video itu langsung tidak menawarkan sebarang cadangan atau pendekatan penyelesaian sebaliknya hanya membentuk persepsi negatif dan keresahan awam.

Selain itu penggunaan video lama sekitar 20 tahun lalu sebagai sandaran hujah adalah tidak relevan dan mencerminkan pendekatan yang tidak matang.

Jelasnya, landskap ekonomi, geopolitik dan kedudukan Malaysia telah berubah secara signifikan dalam tempoh tersebut.

Malah banyak keputusan yang dibuat dua dekad lalu juga perlu dinilai semula dalam konteks semasa.

“Ini adalah realiti dalam mana-mana sistem pentadbiran dan kehidupan,” tegasnya.

Beliau mempersoalkan, jika benar pihak yang menghasilkan kandungan tersebut mampu menangani isu negara, apakah cadangan konkrit yang mampu mereka kemukakan dan laksanakan?

Katanya, kritikan semata-mata tanpa penyelesaian bukan sahaja tidak membantu malah boleh mengeruhkan keadaan serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kestabilan negara.

“Saya nak ambil kesempatan untuk menyeru semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat. Dalam tempoh yang penuh ketidaktentuan ini, rakyat Malaysia seharusnya bersama-sama menyebarkan fakta yang tepat dan membina serta mengemukakan cadangan yang bernas agar kerajaan dapat terus menambah baik dasar demi kepentingan bersama-sama,” katanya.

Berdasarkan rekod kepimpinan Perdana Menteri setakat ini katanya, rakyat perlu yakin penyelesaian sedang dan akan diusahakan.

Malah, perkembangan terkini seperti baru-baru ini rundingan berjaya antara Anwar dan Presiden Iran yang membenarkan kapal Malaysia melalui Selat Hormuz menunjukkan keupayaan diplomatik Perdana Menteri dan kerajaan dalam mengurus cabaran global secara proaktif.

Terdahulu tular dalam satu video berdurasi tiga minit 59 saat antaranya memaparkan video ucapan Anwar berkenaan bekalan petroleum negara cukup sehingga Jun ini selain video lama berkenaan isu minyak semasa Anwar masih menjadi ketua pembangkang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast