Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 01 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Siasatan terhadap pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ dalam suruhanjaya itu hanya menunggu masa untuk didedahkan kepada umum.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan perlu menunggu maklum balas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar selain memastikan semua prosedur dipatuhi sebelum sebarang pendedahan dibuat.

“Kita perlu pastikan siasatan berkenaan selesai sepenuhnya dan sebelum apa-apa tindakan lanjut berkait dengan pemakluman hasil daripada isu siasatan terhadap pegangan saham Tan Sri SPRM (Azam) boleh didedahkan.

“Tetapi ia terserah kepada Jemaah Menteri sekiranya pada bila-bila masa, kita merasakan sudah cukup proses siasatan itu, maka itu terserah kepada yang Jemaah Menteri (untuk dedahkan),” katanya dalam sidang media mingguan selepas Mesyuarat Kabinet, hari ini.

Semalam, kerajaan menafikan dakwaan media antarabangsa yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan pemilikan saham Azam.

Shamsul Azri turut memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan lanjut terhadap agensi media berkenaan susulan dakwaan tersebut.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Shamsul Azri sebelum ini telah menegaskan terdapat beberapa proses penting yang perlu dipatuhi sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat.

Justeru, menurutnya, kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada Shamsul Azri bagi memastikan semua prosedur berkaitan diselesaikan sebelum sebarang pendedahan dibuat kepada rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast