KUALA LUMPUR – Pelakon, Danial Dashuki mengesahkan telah bergelar suami kepada bakat baharu, Tiara Suraya sejak setahun lalu.
Ia sekali gus menutup kontroversi kelibat mereka yang kelihatan mesra selama ini.
Danial, 31, berkata, dia dan Tiara, 25, bernikah pada 4 April tahun lalu namun mempunyai sebab tersendiri untuk membuat keputusan tidak menghebahkan perkahwinan mereka kepada umum sebelum ini.
Katanya yang juga usahawan kafe kopi, tindakan itu kerana dia mengambil iktibar apa yang berlaku kepada pasangan selebriti industri seni sejak kebelakangan ini yang berdepan masalah rumah tangga.
“Saya simpan rahsia bukannya kerana tidak mahu beritahu orang biar pun sedar perkahwinan sepatutnya elok dihebahkan tetapi memilih untuk simpan rahsia ini sebab senario semasa dalam industri hiburan sekarang melibatkan perkahwinan rakan selebriti.
“Setahun dua ini ramai sangat kawan-kawan artis yang putus, bercerai. Semalam pun ada dan jadi saya pilih untuk simpan dulu sampai hubungan kami menjadi kukuh.
“Kini barulah saya pilih untuk umum kepada orang ramai supaya tak ada penyakit-penyakit ain dan itu saya hendak fokus sebenarnya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Danial bertunang dengan Tiara pada Disember 2024 selepas mengenali wanita itu di set penggambaran drama bersiri bertajuk Di Hatiku Ada Kamu walaupun berkenalan dalam tempoh singkat selama tiga bulan.
Pelakon Lelaki Terbaik bagi Teater Tradisional di Anugerah Teater Malaysia 2023 itu ketika itu memberitahu, jodohnya dengan Tiara yang juga pengasas produk kosmetik banyak dibantu oleh ibu bapa masing-masing.
Untuk rekod, Danial memulakan kerjayanya sebagai model bagi pelbagai jenama ternama di Malaysia.
Perjalanan kerjaya Danial kemudian beralih ke bidang lakonan dan seterusnya mengembangkan bakatnya dalam seni pementasan teater selain menjalankan syarikat konsultan minyak dan gas serta memiliki 20 kafe kopi jenama Foffee Dosz.
Tiara pula pulang dari tanah air selepas menamatkan pengajian di New Zealand dan Australia sebelum menceburi bisnes kosmetik di bawah jenama Venus Rose di samping dunia lakonan.
Pasangan itu kini turut membuka syarikat produksi iaitu Difiniti Productions.
Mengulas lanjut, Danial turut mengakui dia dan Tiara menerima tempias apabila sering dilihat mesra terutama ketika sesi fotografi sehingga menjadi kecaman netizen.
Apatah lagi, mereka juga kerap terbang ke luar negara bersama kerana Tiara sentiasa menemaninya ketika menjalankan perniagaan minyak dan gas apabila berulang alik ke Australia dan Kazakhstan.
“Ada yang tanya tak dah kahwin ke yang. Teruk juga saya kena. Tetapi saya tak layan pun benda tu sebenarnya. Kadang-kadang ada yang saya bagi bayangan (sudah kahwin).
“Cuma kadang-kadang ada komen pelik-pelik dan saya cakap tak apa di mata Allah kami sudah halal biarpun ada yang cakap tak tahu halal haram,” katanya.

Danial turut memberitahu, dia sepatutnya mereka menunaikan ibadah umrah bersama untuk berbulan madu namun perancangan ditangguhkan disebabkan perang di Asia Barat.
Katanya, ulang tahun perkahwinan pertama mereka itu terpaksa ditukar ke pulau peranginan terkenal di Maldives selepas membuat keputusan bersama dengan mengambilkira pendapat keluarga masing-masing.
“Untuk tahun pertama ini, kami lebih kepada untuk kenal lebih mendalam antara satu sama lain dan hendak kukuhkan lagi asas perkahwinan.
“Sebab itu kita tak bercinta dan hanya bercinta selepas kahwin. Jadi eloklah untuk tahun pertama perkahwinan, kami bercinta dulu dan kenal hati budi masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette

















