KUANTAN – Pas Pahang mempersoalkan dari mana sumber kewangan Yayasan Madani mendapatkan modal daripada pihak mana bagi membuka ‘Kedai Runcit Harga Rahmah’ dikenali Madani Mart yang dilancarkan baru-baru ini.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, pihaknya ingin penjelasan daripada Yayasan Madani mengenai dari mana modal diperoleh bagi membuka cawangan pertama di Indera Mahkota 8, pada Jumaat.
“Yayasan Madani ini ambil duit dari mana? Mereka kata Madani Mart tidak menggunakan dana kerajaan, jadi sumber kewangan itu datang dari mana?
“Saya tidak boleh komen lanjut kerana tidak jelas model perniagaan digunakan. Adakah ia melibatkan syarikat korporat atau sumber lain, perkara ini perlu dijelaskan supaya rakyat tidak membuat perbandingan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelancaran premis berkenaan yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah ketika sambutan Majlis Aidilfitri Pas dan Perikatan Nasional Indera Mahkota di Seberang Balok semalam.
Menurut Andansura, situasi tersebut mengingatkan kepada inisiatif terdahulu seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang sebelum ini pernah dikritik oleh pihak tertentu.
“Dulu mereka kritik, sekarang buat perkara sama. Jadi rakyat pasti akan membuat perbandingan. Apa sahaja yang baik untuk rakyat, sudah tentu akan mendapat sokongan,” ujarnya.
Ahli Dewan Negeri (ADUN) Beserah itu turut membangkitkan adakah sebarang kemungkinan berlakunya konflik kepentingan susulan penglibatan individu yang mempunyai kaitan dengan kerajaan dalam struktur organisasi Yayasan Madani.
“Saya fikir ia boleh menimbulkan konflik kerana individu berkenaan memegang jawatan dalam kerajaan ketika ini. Soal salah guna kuasa saya tidak berani katakan, tetapi ruang itu tetap ada,” katanya.
Sebelum ini Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh menegaskan pelaksanaan Madani Mart bukan meniru atau menciplak model kedai runcit terdahulu ketika majlis pelancarannya.
Menurutnya, inisiatif itu merupakan pendekatan strategik dalam menangani isu kos sara hidup rakyat secara lebih menyeluruh dan bersasar melalui konsep komuniti dengan slogan “Kedai Runcit Harga Rahmah”.
Katanya, Madani Mart bukan sahaja menyediakan akses kepada barangan asas pada harga berpatutan, malah membuka peluang kepada usahawan tempatan melalui model pelesenan.
Ujarnya Yayasan Madani bertindak sebagai pemberi lesen dengan menyediakan latihan, bimbingan serta sokongan operasi bagi memastikan setiap premis beroperasi secara cekap dan mampan. – MalaysiaGazette
















