KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memulakan operasi pembenihan awan (OPA) di kawasan titik panas melampau melibatkan negeri Perlis, Kedah dan utara Perak bermula esok.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
“Selain wilayah utara, operasi sama juga akan diperluaskan ke Melaka dan Johor bagi menangani masalah kawasan kering di negeri berkenaan.
“Kenapa agak lewat? Kita mendapat nasihat daripada MetMalaysia kerana luluran angin dan juga awan yang mengandungi air itu sebelum enam hari bulan tidak berada di lokasi titik-titik panas yang saya sebutkan,” katanya kepada media selepas program Forum Voices of HER bertemakan ‘Women & Economic Power: Survival, Leadership and Asset Ownership’ di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Beliau berkata, OPA merupakan usaha amat penting bagi memastikan takungan bekalan air di tasik-tasik utama kembali pulih untuk kegunaan rakyat dan sektor ekonomi.
“Mudah-mudahan tasik-tasik yang merupakan takungan bekalan air untuk kegunaan domestik dan juga untuk kegunaan pertanian serta industri akan dapat kita bantu untuk kita menyelesaikannya, Insya-Allah,” ujarnya.
OPA kali ini akan memberi tumpuan khusus kepada 11 lokasi empangan strategik bagi memulihkan paras simpanan air.
Antara yang terlibat termasuk Empangan Timah Tasoh (Perlis), Empangan Ahning, Empangan Pedu dan Empangan Muda (Kedah), Empangan Temenggor dan Empangan Bukit Merah (Perak).
Di selatan, OPA juga akan dilakukan di beberapa empangan antaranya Empangan Lebam, Empangan Upper Layang, Empangan Lower Layang, Empangan Gunung Pulai dan Empangan Machap. – MalaysiaGazette
















