Bangunan Wisma Putra Kementerian Luar Negeri di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab seorang menteri daripada rejim Zionis Israel yang memasuki kawasan Masjid Al‐Aqsa di Baitulmaqdis Timur pada 7 April 2026.

Kementerian Luar Negeri berkata, tindakan provokasi ini yang dilakukan semasa masjid ditutup kepada umat Islam, merupakan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa, resolusi PBB, dan kesucian tapak ketiga paling suci dalam Islam.

“Tindakan tidak bertanggungjawab ini mengancam keamanan dan kestabilan serantau, serta menjejaskan hak beragama umat Islam di seluruh dunia.

“Malaysia menegaskan perlindungan dan penghormatan terhadap Masjid Al‐Aqsa dan tapak suci lain di Baitulmaqdis merupakan tanggungjawab yang tidak boleh dirunding di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Malaysia menyeru komuniti antarabangsa supaya mengutuk tindakan Israel dengan tegas dan menuntut agar rejim tersebut segera menghentikan semua tindakan agresif, menghormati kesucian tapak suci, dan mematuhi sepenuhnya undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Tegasnya, langkah-langkah konkrit mesti diambil untuk mencegah sebarang pelanggaran selanjutnya dan memastikan tapak suci di Baitulmaqdis kekal selamat, dilindungi, dan boleh diakses oleh semua jemaah.

Malaysia menegaskan solidariti padu dengan rakyat Palestin serta komitmen untuk memelihara warisan agama, budaya, dan kebangsaan mereka.

Katanya, Malaysia juga menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967,
dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast