Tangkap layar video tular

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan insiden serangan ke atas sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin, Cheras pada Ahad lalu berpunca daripada konflik dalaman berkaitan persaingan perniagaan bukan kejadian rawak.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mendedahkan, siasatan awal mendapati serangan itu dipercayai dirancang susulan pertikaian antara pemilik premis dan pihak pesaing dengan penglibatan kumpulan kongsi gelap yang diupah.

“Maklumat awal menunjukkan terdapat elemen persaingan dan dendam yang membawa kepada tindakan keganasan ini. Kita juga percaya ada pihak menggunakan khidmat kumpulan kongsi gelap untuk tujuan tertentu termasuk mengawal operasi premis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Fadil Marsus

Menurut Fadil, setakat ini, seramai 45 individu tempatan berusia antara 14 hingga 57 tahun telah ditahan termasuk dua pelajar sekolah hasil operasi berterusan sejak dua hari lalu.

Tangkapan dilakukan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang dan turut membawa kepada rampasan pelbagai senjata seperti besi dan kayu besbol selain kenderaan termasuk sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk merempuh premis berkenaan.

“Pada hari pertama selepas kejadian, lapan individu ditahan namun hanya seorang direman manakala selebihnya dibebaskan dengan jaminan polis. Susulan perkembangan siasatan, seramai 37 lagi ditahan semalam dan direman empat hari bermula hari ini,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 148 Kanun Keseksaan melibatkan kesalahan khianat dan merusuh menggunakan senjata.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, lebih 60 individu bertopeng dipercayai menyerbu dan menceroboh premis berkenaan, mencetuskan kekecohan yang sempat dirakam orang awam sebelum tular di media sosial.

Polis kini giat memburu beberapa lagi individu yang masih bebas bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast