TANGKAP layar video yang dikeluarkan Pengawal Revolusi Iran yang menunjukkan Selat Hormuz berada di bawah penguasaan tentera laut negara itu.

TEHRAN – Pengawal Revolusi Iran pada Ahad memberi amaran bahawa mereka mampu memerangkap musuh dalam “pusaran maut” di Selat Hormuz, sambil menegaskan bahawa pasukan keselamatan Iran kini menguasai sepenuhnya laluan perkapalan penting itu.

“Semua trafik… berada di bawah kawalan penuh angkatan bersenjata,” kata komando tentera laut Pengawal Revolusi dalam satu hantaran berbahasa Parsi di platform X.

“Musuh akan terperangkap dalam pusaran maut di Selat itu jika melakukan langkah yang salah,” tambahnya, sambil memuat naik video yang menunjukkan kapal-kapal berada dalam sasaran bidikan.

Kenyataan itu susulan arahan terbaharu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kepada tentera laut negara itu supaya menyekat laluan Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap keengganan “tidak berkompromi” Iran untuk meninggalkan cita-cita nuklearnya semasa rundingan damai di Islamabad.

“Berkuat kuasa serta-merta, Tentera Laut Amerika Syarikat, yang terbaik di dunia, akan memulakan proses MENYEKAT mana-mana dan semua kapal yang cuba memasuki atau keluar dari Selat Hormuz,” kata Trump di platform Truth Social miliknya.

“Mana-mana warga Iran yang menembak ke arah kami, atau terhadap kapal awam, akan DIMUSNAHKAN!” tambah Trump. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast