Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani mengambil langkah segera untuk menambah baik bantuan kepada pengguna diesel bagi meringankan beban rakyat serta memastikan aktiviti ekonomi terus berjalan lancar.

Penambahbaikan itu dibuat mengambil kira tekanan berterusan dalam pasaran tenaga global, khususnya gangguan bekalan petroleum di peringkat antarabangsa yang menyebabkan harga diesel bertapis meningkat ketara sehingga AS$250 setong, iaitu hampir tiga kali ganda berbanding sebelum konflik Asia Barat.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memahami kesan langsung kenaikan kos ini kepada rakyat dan telah mengambil langkah segera untuk menambah baik bantuan secara bersasar, khususnya kepada pesawah, petani, pekebun kecil serta pemilik kenderaan diesel individu yang layak.

“Keutamaan Kerajaan MADANI adalah jelas: memastikan keterjaminan bekalan barangan asas untuk rakyat, ekoran kenaikan harga minyak mendadak dan gangguan rantaian bekalan dunia.

“Langkah yang diumumkan hari ini melibatkan perbelanjaan tambahan, antaranya untuk membantu pengeluar makanan, demi kelangsungan bekalan makanan untuk rakyat,” tambah beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Sehubungan itu, tambah kenyataan tersebut, Kerajaan Madani bersetuju menaikkan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) bagi musim penanaman 2026 daripada RM160 kepada RM300 sehektar.

Katanya, kenaikan itu melibatkan tambahan dana sekitar RM40 juta, dan dijangka memanfaatkan hampir 200,000 pesawah padi, yang sebahagiannya bakal memulakan penanaman padi pada bulan ini.

Menurutnya, sebagai bantuan tambahan, tahun lalu juga, Kerajaan Madani memperkenalkan Insentif Penuaian sebanyak RM50 untuk sehektar semusim bagi meringankan beban kenaikan kos input.

Selain itu, ujarnya, bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu turut dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi April, dan akan disalurkan pada 21 April ini (Selasa).

Jelasnya, ini adalah kali kedua bantuan tersebut telah dinaikkan susulan krisis tenaga global ekoran konflik di Asia Barat.

“BUDI Agri-Komoditi dijangka memanfaatkan lebih 200,000 petani dan pekebun kecil, dengan dana tambahan sekitar RM20 juta sebulan.

“BUDI Diesel Individu dijangka memanfaatkan sekitar 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung Malaysia, dengan dana tambahan sekitar RM15 juta sebulan,” katanya.

“Kementerian Kewangan dijangka menanggung subsidi sekitar RM7 bilion untuk April 2026, termasuk dana tambahan RM75 juta, untuk ketiga-tiga ikhtiar bantuan diesel,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan juga bersetuju untuk memudahcara pembelian diesel bagi kegunaan selain kenderaan dengan syarat keperluan permit khas bagi pembelian melebihi 20 liter akan dilonggarkan.

Ujarnya, pemilik mesin atau jentera pertanian dibenarkan membeli diesel melebihi had tersebut dengan mengemukakan pendaftaran jentera.

“Kerajaan akan memperincikan garis panduan pelaksanaan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Madani melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan terus memantau perkembangan terkini di Asia Barat serta impaknya kepada Malaysia, dan sedia mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk membantu golongan rakyat yang terkesan serta menstabilkan ekonomi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast