Yahaya menyampaikan 14 sijil penghargaan  kepada anggota dan pegawai sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang bagi Bulan April Tahun 2026 di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Polis sudah memanggil seramai 16 saksi bagi diambil keterangan sehingga kini bagi membantu siasatan kes kematian anggota tentera, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya tidak meolak kemungkinan akan memanggil lagi saksi lain bagi melengkapkan kertas siasatan.

Allahyarham Muhammad Amirul berusia 24 tahun meninggal dunia pada 11 April lalu telah mengalami kecederaan parah dipercayai dipukul dalam kejadian di Kem Tentera Batalion 25 RAMD, di Bentong meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

“Post mortem telah dijalankan pada petang Sabtu dan jenazah telah selamat dikebumikan. Polis masih menunggu laporan bedah siasat. .

“Kes sebelum ini, tuduhan pada suspek pada Seksyen 325. Suspek masih lagi ditahan lima hari.

“Selain daripada itu, untuk siasatan ini kita telah klasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan 14 sijil penghargaan  kepada anggota dan pegawai sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang bagi Bulan April Tahun 2026 di sini hari ini.

Yahaya bagaimanapun berkata, pihaknya tidak merancang menubuhkan pasukan khas bagi siasatan kes berkenaan namun mengesahkan pihak Angkatan Tentera Malaysia ada berbuat demikian.

Muhammad Amirul menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.45 pagi Sabtu lalu dan jenazah telah dikebumikan di Pusara Damai Felda Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan.

Terdahulu Muhammad Amirul parah dipercayai dipukul suspek disyaki berpunca ketidakpuasan hati berhubung kerja pembersihan pada 31 Mac lalu.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam kenyataan memaklumkan berdasarkan siasatan awal, seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah menggunakan kekerasan dengan menampar dan menumbuk di bahagian muka dan perut tujuh anggota kem berkenaan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memukul, menumbuk dan menendang mangsa di beberapa bahagian badan.

Siasatan turut mendapati terdapat enam lagi mangsa berusia lingkungan 19 hingga 22 tahun berada bersama dalam kejadian itu dilaporkan menerima rawatan setelah mengalami kecederaan ringan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Prebet dipukul Koperal di kem Bentong meninggal dunia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast